Polis sedang memburu tujuh lagi suspek lelaki bagi membantu siasatan kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-Un, Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka berumur dalam lingkungan 30 hingga 50-an.
Beliau berkata empat daripadanya disahkan warga Korea Utara yang telah melarikan diri ke luar negara pada hari kejadian iaitu Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55 dan Ri Jae Nam, 57.
"Bagaimanapun kami tidak boleh mendedahkan lokasi negara yang mereka pergi kerana masih dalam siasatan.
"Tiga lagi diperlukan bagi membantu siasatan dengan seorang lelaki dikenal pasti sebagai Ri Ji U, 30, yang juga warga Korea Utara dan dua lagi sedang dikenal pasti oleh pihak kami," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Menurut Noor Rashid, keempat-empat suspek yang melarikan diri ke luar negara itu tiba di Malaysia di antara tempoh 31 Januari hingga 7 Februari.
"Oleh itu, untuk memburu suspek berkenaan, kami akan bekerjasama dengan polis Interpol dari segi perkongsian maklumat," katanya.
Ditanya pemberita sama ada polis akan bekerjasama dengan kerajaan Korea Utara dalam membantu siasatan kes ini, Noor Rashid berkata setakat ini pihaknya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana negara kecuali Interpol.
Dalam pada itu, Noor Rashid turut mendedahkan Jong-nam datang ke Malaysia atas urusan peribadi dan enggan mengulas lanjut.
Menyentuh mengenai dua suspek wanita iaitu Doan Thi Huong, 28, yang memegang pasport Vietnam, dan Siti Aisyah, 25, pemegang pasport Indonesia, serta seorang lelaki warga tempatan Muhammad Farid Jallaludin, 26, yang ditahan sebelum ini, beliau berkata mereka direman sehingga Rabu depan.
Suspek keempat iaitu warga Korea Utara dikenali sebagai Ri Jong Chol, 47, yang ditahan semalam, direman sehingga Jumaat depan.
Ditanya mengenai status mayat Jong-nam di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur, Noor Rashid berkata sehingga kini, tiada mana-mana pihak atau waris yang tampil untuk menuntut mayat Jong-nam.
"Oleh itu, polis memberi tempoh dua minggu kepada waris untuk tampil menuntut mayat Jong-nam sebelum kami membuat keputusan selanjutnya.
"Selain itu, waris juga perlu membawa sebarang surat yang boleh membuktikan pertalian keluarga sebelum dibenarkan menuntut mayat berkenaan," katanya sambil menambah punca kematian masih dalam siasatan.
Noor Rashid berkata mayat berkenaan perlu dikenal pasti dan yang paling layak untuk mengenal pasti mayat tersebut adalah waris terdekat.
"Jadi kami perlukan seperti anak, kakak atau adik mangsa untuk membantu mengenal pasti mayat," katanya.
No comments:
Post a Comment