Wednesday, February 22, 2017

Bila akaun PERMATA sedia didedahkan?


Khalid Samad


Saya meneliti jawapan Sdr Rizal berhubung cadangan Pakatan Harapan untuk memansuhkan PERMATA.

Tanpa disedari dia telah mendedahkan mentaliti pimpinan UMNO dalam menentukan dasar negara. Ia itu, mansuhkan yang tidak mendatangkan keuntungan peribadi diri mereka dan perkembangkan yang menguntungkan.

Saya ingin jelaskan kepada Rizal bahawa itu bukan mentaliti dalam Pakatan Harapan. Bagi kami yang menguntungkan rakyat dan negara diutamakan bukan yang untungkan peribadi.

Oleh itu Pakatan Harapan bercadang untuk memansuhkan PERMATA, yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ini adalah supaya peruntukan dapat diagihkan semula kepada agensi-agensi pendidikan awal kanak-kanak sedia ada yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) .

Tiada keperluan untuk PERMATA kerana ia mempunyai objektif yang sama dengan program ‘Pendidikan Awal’ yang dikendalikan oleh KPM.

Mengapakah perlu diwujudkan lagi satu badan yang menelan belanja RM45 juta wang rakyat untuk bajet 2017 sedangkan pada tahun yang sama KPM telah diperuntukkan sebanyak RM767 juta untuk visi dan misi yang sama iaitu membangunkan pendidikan awal kanak-kanak?

Sejumlah RM45 juta wang yang diperuntukkan untuk PERMATA adalah banyak di mata majoriti rakyat Malaysia. Wang ini sepatutnya disalurkan dalam program pendidikan awal sedia ada, bukannya diperuntukan dalam sebuah program yang dikuasai oleh ahli yang berkait rapat dengan parti politik.

Sekiranya kerajaan mahu menubuhkan program pendidikan istimewa yang berbeza dengan program-program sedia ada, maka seharusnya program tersebut ditempatkan di bawah kendalian KPM juga, bukannya JPM.

Dalam pada itu, saya menggesa Program PERMATA Negara yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor untuk mendedahkan akaunnya segera memandangkan akaun PERMATA diaudit sepenuhnya oleh Pejabat Ketua Audit Negara.

Acapkali yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN setiap kali untuk tidak menjawab soalan adalah dengan menolak ke sana sini, itulah yang berlaku terhadap ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin yang sebelum ini cuba untuk melihat akaun PERMATA.

Dalam kenyataan Sdr Rizal beliau mendakwa YB Yeo menyokong dan mempertahan Program PERMATA.

Namun YB Yeo telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut sambil membidas Sdr Rizal.

Sebelum lawatan pimpinan DAP ke PERMATA pada tahun lalu, Sdr Rizal dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa “Akaun PERMATA diaudit sepenuhnya setiap tahun oleh Pejabat Ketua Audit Negara dan dia (Yeo) bebas untuk membaca laporan-laporan tahunan itu”.

Persoalannya, mengapa penyata akaun PERMATA tidak dapat didedahkan sehingga hari ini? Adakah terdapat penyelewengan atau sesuatu perkara buruk yang ingin dirahsiakan daripada pengetahuan orang awam?

Hal ini menyebabkan rakyat menganggap operasi PERMATA tidak dijalankan secara telus.

Hal ini menimbulkan persoalan adakah program PERMATA berkait rapat dengan mana-mana kepentingan peribadi terutama yang mempunyai hubungan dengan orang-orang politik.

Oleh itu, jelaslah bahawa program ini tidak mempunyai akauntabiliti yang berkesan sehingga boleh menghalang penyelewengan dan salah guna kuasa.

Saya sekali lagi dengan tegas menggesa Kerajaan Umno BN untuk memansuhkan Program PERMATA atas dasar tiada keperluan, ketulusan dan akauntabiliti.

Sebaliknya peruntukan dan aset PERMATA perlu diagihkan semula pada program-program pendidikan yang dikawal selia oleh KPM.

* Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam

No comments: