Wednesday, November 9, 2016

Syarikat projek landasan bukan milik kerajaan, Rafizi dakwa menteri bohong

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Projek Landasan Keretapi Pantai TimurProjek Landasan Keretapi Pantai Timur


Syarikat yang didakwa mewakili kerajaan Malaysia dalam projek pembinaan landasan keretapi Pantai Timur tidak dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) tetapi dimiliki dua kakitangan Kementerian Kewangan, dedah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Menurut Naib Presiden PKR itu, jika MRL Sdn Bhd dimiliki oleh MOF Inc, maka dua saham bernilai RM1 setiap satu itu akan didaftarkan di atas nama MOF Inc dan bukannya dua individu terbabit.

Sehubungan itu, Rafizi menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan melakukan pembohongan apabila mendakwa  MRL Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Beliau merujuk wawancara Abdul Rahman Dahlan dengan SinarTV yang mendakwa Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dimiliki Kementerian Kewangan.

Malah tambah Rafizi, jika dua pemilik saham tersebut iaitu Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail bersetuju memindahkan saham mereka kepada MOF Inc, beliau mempersoalkan proses kelulusan yang akan diguna pakai untuk membenarkan MOF Inc yang dimiliki rakyat mewarisi hutang bernilai RM46 bilion yang ditandatangani oleh sebuah syarikat yang pada masa kontrak ditandatangani tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Malaysia?

"Kenyataan Dato’ Rahman Dahlan semalam mengesahkan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk menggunakan muslihat yang sama yang digunapakai semasa memindahkan hutang 1MDB melalui SRC International kepada rakyat: SRC berhutang RM4 bilion semasa ia masih anak syarikat penuh 1MDB, selepas wang sudah diambil maka MOF Inc bersetuju menerima pemindahan saham dari 1MDB kepada MOF Inc.

"Akhirnya, hutang RM4 bilion yang sebenarnya diambil oleh 1MDB melalui SRC telah dimiliknegarakan dan dibebankan kepada rakyat.

"Perkara yang sama juga akan berlaku dengan MRL yang mengendalikan ECRL ini," ujarnya.

Rafizi turut mempersoalkan kenyataan Abdul Rahman bahawa kontrak yang dianugerahkan kepada CCCC (syarikat milik kerajaan China) sememangnya berjumlah RM46 bilion dan bukannya RM55 bilion kerana ia hanya melibatkan pembinaan sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km dan tidak termasuk sistem dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km.

Sebelum ini, nilai projek landasan keretapi Pantai Timur itu menjadi persoalan apabila laman web CCCC menyatakan projek itu bernilai RM46 bilion sedangkan Perdana Menteri menyebut ianya bernilai RM55 bilion.

Menurutnya, jawapan yang diberikan Abdul Rahman itu boleh dipatahkan dengan laporan-laporan lain yang menyebut pelbagai angka.

Walaupun angka sebenar projek tersebut terus menjadi persoalan, Rafizi melontarkan soalan yang lebih penting iaitu mengapa Perdana Menteri secara terburu-buru menandatangani kontrak bernilai RM46 bilion itu.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Najib tidak boleh menunggu rundingan pakej pembinaan keseluruhan dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang dimuktamadkan.

"Bukankah jika kontrak pembinaan EPCC dirundingkan secara bersekali dan dalam satu pakej iaitu dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang, secara logiknya ia lebih murah kerana kontraktor tidak perlu membuat kerja dua kali, tidak perlu membayar kos mobilization dan de-mobilisation dua kali dan kontraktor boleh mendapatkan harga material yang lebih murah kerana membeli secara pukal," soal beliau.

Abdul Rahman dalam wawancara dengan SinarTV menjelaskan, nilai projek sistem keretapi dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km adalah RM9 bilion.

Jumlah ini, ujarnya bertepatan dengan kos keseluruhan projek landasan keretapi Pantai Timur berjumlah RM55 bilion seperti diumum Najib.

No comments: