Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] "Hari ini
(Sabtu, 12 November 2016) PPBM belum lagi menjadi sebahagian daripada
Pakatan Harapan (PH), tapi niat kita ialah untuk bersama-sama dengan
parti-parti lain dalam PH," kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau
membuat penegasan demikian kerana presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin
Yassin “mencemaskan” pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dengan
menangguhkan majlis memeterai perjanjian penyertaan PPBM dalam PH.
Dr Mahathir memaklumkan pada konvensyen pertama PH kelmarin bahawa
beliau dan Muhyiddin sebenarnya senada mengenai permuafakatan parti itu
dengan PH yang merangkumi PKR, DAP dan AMANAH.
"Dia (Muhyiddin) bersama saya, bersetuju supaya kita akan menyertai
secara langsung dengan PH. Tidak benar sama sekali bahawa yang menentang
perpaduan antara PPBM dengan PH adalah Tan Sri Muhyiddin.
"Kita akan menyelesaikan mengenai kekeliruan menandatangani perjanjian tapi kami akan menyertai PH," ujarnya.
Anehnya pada majlis yang sama Muhyiddin mengemukakan alasan bahawa
penangguhan itu dibuatnya bagi membolehkan pemimpin PH berbincang lebih
lanjut bersabit terma-terma perjanjian itu.
"Ada yang kata saya tarik diri dari menandatangani (penyertaan) PPBM
dan PH yang sepatutnya dimeterai hari ini. Saya sangat serius dan teliti
dalam hal-hal yang penting, lagi-lagi dalam isu tandatangan ini.
"Saya minta majlis menandatangani ini ditangguhkan untuk beri masa yang
cukup kepada semua kepimpinan PPBM dan PH untuk berbincang dengan lebih
lanjut.
“Bukan hanya (perbincangan) antara presiden (sahaja), tetapi dengan
semua kepimpinan kanan secara bersama untuk mencapai persetujuan dalam
setiap satu terma yang terkandung di dalam perjanjian.
Menilai sikap berhati-hati Muhyiddin ini, mungkin timbul persoalan
adakah sebenarnya corak kepemimpinan Muhyiddin dengan Mahathir ini
kurang serasi? Mengenali Mahathir beliau lazimnya bertindak dengan yakin
dan tuntas.
Adakah kepemimpinan Muhyiddin yang kelihatan agak kurang yakin diri
membuat ‘anak didik’ Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan
bertindak keluar parti itu?
Satu lagi persoalan ialah, adakah “ketelitian” Muhyiddin membuka
peluang untuk anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz dinaikkan pangkat tanpa
pengundian daripada ahli parti dari Naib Presiden menjadi Timbalan
Presiden?
"Pada dasarnya saya bersetuju dengan sebahagian besar perjanjian," kata
Muhyiddin pada Konvensyen PH itu sekaligus mengisyaratkan bahawa ada
beberapa bahagian perjanjian yang tidak dipersetujuinya.
Umum tahu Muhyddin bukan seorang pemimpin yang tegas dan gesit dalam
tindakan dan bacaan politiknya. Namun dalam percaturan politik mutakhir,
namanya tersenarai berpeluang menjadi perdana menteri jika pembangkang
menang pilihanraya umum akan datang.
Mungkinkah kerana itu Muhyiddin mengambil sikap lebih berhati-hati bagi
menentukan PPBM mampu menjadi peneraju pembangkang dan tidak mahu
‘menurut sahaja’ syarat PH sedia ada?
Dengan perkataan lain, mungkinkah PPBM atau Muhyiddin sebenarnya mahu
meletakkan syarat khusus supaya kerabat PH tidak berdolak dalik atau
enggan merestui PPBM menjadi nakhoda PH jika dapat menundukkan Umno-BN
kelak?
Adakah Mahathir dan Muhyiddin serta PPBM keseluruhannya mahu menjawab
tantangan Umno-BN yang sering mencabar PH supaya menamakan barisan
kabinet bayangannya?
Dalam soal ini, mungkinkah PPBM mahu dengan jelas menyatakan bahawa ia
mahu jawatan Perdana Menteri dikalungkan pada calonnya – Muhyiddin?
Atau, mungkin juga Mukhriz?
Memahami psikologi politik Mahathir beliau tidak mudah mengalah dan
hanya berpuashati memegang watak pelakon pembantu atau tambahan sahaja.
Dalam apa jua keadaan Mahathir mahu berada pada kedudukan memimpin.
Kali ini demi meyakinkan PH, terutama PKR, Mahathir sanggup melekatkan
lencana “Bebaskan Anwar Sekarang” pada bajunya walaupun beliau sedar
Anwar masih meringkuk dalam penjara apabila PRU 14 berlangsung!
Atau, adakah taktik melengah-lengahkan ini satu strategi untuk
melunakkan PAS supaya menyertai PH dan bersama menjayakan strategi
“satu lawan satu” melawan Umno-BN?
Mungkin Mahathir dan PPBM sedang mencerna strategi menawarkan gabungan
PPBM sebagai wadah mengisi keperluan nasionalisme Melayu; PAS memenuhi
mengisi naluri agama Islam dan PKR mewakili suara Melayu (muslim
demokrat)?
Sebab itu, ia memerlukan masa untuk memikirkan bagaimana memujuk DAP
supaya “menghindar diri”dari PH tetap terus mengukuhkan sokongan
pengundi bukan Melayu.
Dengan
itu, gabungan PPBM, PAS dan PKR tidak perlu memikul beban menjunjung
imej “keCinaan” DAP dalam PRU 14 dengan kesefahaman akan bergabung
semula pasca PRU 14?
Sementara itu mungkin Mahathir masih berikhtiar meyakinkan AMANAH dan
‘pejuang setia konsep PH” seperti Datuk Mahfuz Omar dari PAS supaya
menyisih diri dan menyelinap masuk dalam PKR, PKR untuk sementara
waktu.
No comments:
Post a Comment