Sunday, October 9, 2016
PRU14: Pertarungan hidup mati siapa?
Oleh Lim Hong Siang
PRU13 adalah peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan. Kenyataan ini masih dan tetap saya yakini sama ada sebelum, mahupun selepas 5 Mei 2013. "Ini kali-lah," terlepasnya peluang keemasan ini, bermakna sejarah berlalu begitu sahaja dari sisi kita. Untuk menemu semula detik saat sebegini, kita kena tunggu "Lain kali-lah".
Biar berterus-terang dalam realiti politik. "Kuasa" yang menyatukan parti pembangkang. Berkecainya harapan menawan Putrajaya, maka berpecahlah parti pembangkang. Selangor jawapan terbaik untuk menguji teori ini. Apakah PAS yang berdendam dengan DAP boleh duduk semeja di Selangor, andainya bukan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri?
Justeru itu, selagi harapan menawan Putrajaya tidak cerah untuk pembangkang, agak mustahil DAP, PAS, AMANAH, PKR dan BERSATU kembali ke meja rundingan dan mencapai muafakat. Perkembangan hari ini bakal memberi kesan terhadap keputusan PRU14, namun ramalan terhadap PRU14 juga sedikit sebanyak menentukan perkembangan sekarang. Apapun terjadi, PRU14 tetap satu titik penting dalam sejarah politik Malaysia.
PRU terakhir Anwar dan Mahathir
PRU14 adalah PRU terakhir untuk Anwar Ibrahim. Anwar jatuh sebagai orang kedua di tangga kuasa pada tahun 1998, sempat kembali pada tahun 2008, di usia 61 tahun.
PRU13 adalah cubaan terakhir Anwar untuk bangkit ke puncak hayat politiknya, namun digagalkan oleh sistem pilihan raya yang memenangkan parti 47 peratus. Pandangan pesimis mengandaikan nyawa politik Anwar terkubur, setelah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, kerana beliau hilang kelayakan untuk bertanding, barangkali untuk dua penggal.
Dengan andaian PRU14 dan PRU15 berlangsung pada tahun 2018 dan 2023, apa yang tinggal untuk tokoh yang dilahirkan pada tahun 1947 ini?
Anwar sudah hampir pasti tidak boleh bertanding dalam PRU14, tetapi susuk tubuh ini tetap relevan, memandangkan tiada tokoh yang seiring pengaruh dan wibawanya untuk diterima parti pembangkang mahupun rakyat secara umum buat masa kini.
Anwar sering dipersalahkan ketika di luar penjara, namun rakyat mula sedar betapa sukarnya pembangkang bergerak tanpa Anwar selepas 10 Februari 2015. Dari segi teknikalnya, Anwar hanya disekat undang-undang, yang boleh diatasi seandainya senario politik berubah dalam PRU14.
Namun, jikalau keputusan PRU14 tidak melonjakkan pembangkang ke mana, malah kedudukan BN semakin selesa dengan peratusan kerusi yang dipegang, maka masa depan Anwar akan menjadi semakin malap. Begitu juga dengan musuh ketat yang bersalaman dengan Anwar selepas 18 tahun, Mahathir Mohamad, PRU14 adalah peluang terakhir tokoh berusia 91 tahun ini menumbangkan Najib.
Mahathir pernah berjenaka bahawa dirinya hanya mampu menjenguk Malaysia "dari atas" pada tahun 2020, sama ada Malaysia berjaya merealisasikan wawasan sebagai negara maju atau tidak. Kira-kira tiga tahun sahaja yang menjarakkan kita dengan 2020, namun politik tempatan nampaknya belum lagi terlepas dari genggaman beberapa tokoh veteran.
Najib Razak, 63, masih mampu bertahan untuk melanjutkan hayat politiknya selagi skandal 1MDB tidak berkembang di luar kawalannya. Peranan Mahathir menjadi tumpuan di sini bukan kerana diktator pencen ini telah dinobatkan sebagai ikon reformasi, cuma seandainya pengasas Umno Baru yang tebal dengan keMelayuannya itu pun gagal meyakinkan masyarakat Melayu untuk menyingkirkan Najib, maka siapa lagi yang mampu menggalas dan menyempurnakan misi sedemikian?
Kedua-dua orang Mahathir dan Anwar melambangkan generasi dan zaman masing-masing. Pergelutan dua tokoh ini selama 18 tahun mencorakkan politik tanahair. Ada yang menyifatkan perbalahan politik ini sebagai konflik generasi, pertembungan dua paradigma politik yang berbeza - di mana Anwar mencabar autoritarian Mahathir dengan tuntutan Reformasi.
Hakikatnya, reformasi sistem negara tidak pernah sempurna, sejak dilanda kemelut ekonomi 1997, disusuli kemudian dengan krisis kewangan 2008.
PRU pertama AMANAH & BERSATU
Baik reformasi mahupun transformasi, laungan slogan ini gagal menyelesaikan beberapa konflik yang timbul. Bukan sahaja sistem negara tidak dirombak, malah sistem parti politik pun gagal berfungsi seiring langkah peredaran zaman. Kemunculan AMANAH dan BERSATU, misalnya, adalah manifestasi bagaimana konflik parti gagal diselesaikan melalui saluran dalaman.
Maka serpihan keluar dan menubuhkan parti baru, memasuki gelanggang yang direka untuk menindas parti baru yang kecil. AMANAH telah diuji dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sepanjang tempoh setahun ditubuhkan.
Loceng amaran berbunyi - sungguhpun saf pimpinan Amanah adalah pemimpin garis kedua yang terunggul dalam parti lama mereka, PAS, namun penghijrahan mereka tidak diikuti penyokong akar umbi secara berpusu-pusu. Lantaran itu, mereka berdepan dengan masalah jentera di akar umbi.
Tidak realistik untuk menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap AMANAH dalam PRU14. Cabarannya, adakah AMANAH mampu mengekalkan enam kerusi parlimen dan tujuh kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dimenanginya dengan tiket PAS dalam PRU13?
Apakah penyandang kerusi ini mampu menang, andainya terpaksa memasuki gelanggang untuk perang tiga penjuru?
Andainya senario terburuk berlaku, di mana AMANAH gagal mempertahankan kebanyakan kerusi yang disandangnya, apakah langkah seterusnya?
Adakah kembali ke pangkuan PAS menjadi pilihan yang boleh dipertimbangkan, setelah hubungan kedua-dua pihak dirobek sebagaimana yang kita saksikan setahun lalu?
Bagaimana pula dengan reaksi rakan sekutu AMANAH, dan juga penyokongnya? Apakah kredibiliti pemimpin AMANAH akan terhakis?
PRU14 juga gelanggang pertarungan pertama BERSATU. Berbanding AMANAH, BERSATU nampaknya lebih tidak bersedia untuk perjuangan jangka panjang, dari persepsinya. Ia bermula dengan matlamat untuk menumbangkan Najib, dan dijangka kembali ke pangkuan Umno selepas perjuangannya selesai.
PKR sekurang-kurangnya diasaskan sebagai parti berbilang kaum, sungguhpun lahir di celah-celah retakan Umno. AMANAH setidak-tidaknya cuba menawarkan hujah yang berbeza, dalam penafsiran Islamnya berbanding PAS. Kedua-dua parti ini berusaha menyesuaikan diri untuk politik masa depan.
Namun BERSATU mencungkil pertikaian sebaik sahaja membuka tirai, apabila ahli bukan bumiputeranya tidak diberi hak mengundi dan bertanding untuk jawatan parti. Sekatan ini menambat langkahnya untuk pergi lebih jauh dalam politik Malaysia, dan rata-rata hanya menerima BERSATU sebagai strategi untuk memecahkan undi Umno. Realiti ini membuatkan PRU14 penting untuk BERSATU - guling tikar jikalau misinya gagal.
PAS, DAP dan PKR?
Jadi, bagaimana pula dengan PAS, DAP dan PKR? PAS hampir pasti akan tewas dalam PRU14, dengan penolakan pengundi bukan Melayu. Namun itu bukan pertimbangan utama Presidennya Haji Hadi Awang dan pemimpin yang sewaktu
dengannya. PAS dijangka berdepan dengan konflik yang sengit antara saf pimpinan dengan akar umbinya selepas PRU14.
PAS boleh memilih untuk bekerjasama dengan Umno, namun pimpinannya perlu bersedia untuk berdepan dengan penolakan sesetengah akar umbinya, yang berdekad-dekad menentang Umno, sehingga ada yang putus hubungan dengan saudara-mara berkeahlian Umno.
Jikalau PAS memilih untuk bersendirian, maka muktamar seterusnya akan menjadi medan untuk bermuhasabah - mengapa prestasi PAS merudum dalam PRU14? Namun ia mungkin sedikit terlambat.
Jikalau saf pimpinan sedia ada perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan tersebut, siapa pula penggantinya, memandangkan kebanyakan pemimpin garis kedua telah masuk AMANAH?
DAP nampaknya paling selesa kedudukannya di kalangan parti pembangkang. Jikalau dibuat perkiraan kasar, persempadanan semula, sungguhpun tidak menambah kerusi untuk dimenangi DAP, tetapi kerusi yang dimenangi DAP menjadi lebih "selamat", dengan pemindahan pengundi bukan Melayu ke kawasannya.
Setakat ini, tiada petanda yang menunjukkan bahawa pengundi Cina akan beralih kepada BN dalam PRU14, tetapi ada simptom-simptom menunjukkan peratusan pengundian Cina bakal merosot, lantaran kekecewaan terhadap apa yang berlaku pada hari ini.
Padahal, DAP sudah tepu kemenangannya dalam PRU13, dan agak mustahil untuk melonjak dalam PRU14. Cuma, DAP juga berdepan dengan tekanan penyokong tradisionalnya - apa yang boleh DAP lakukan dengan mandat sebegitu besar?
Pengundi yang "pragmatik" akan berdepan dengan dilema - sama ada memilih pembangkang terbesar yang lantang suaranya, ataupun memilih parti komponen pemerintah yang kecil, tetapi mempunyai sedikit kuasa pentadbiran?
PKR yang berusia 17 tahun sekarang masih kurang mantap, berbanding parti yang lain. Parti ini hampir lemas pada tahun 2004, selepas gelombang Reformasi menyurut. PKR tidak menampilkan imej agama mahupun kaum, tetapi ideal perjuangan dengan nilai keadilan, demokrasi dan kebebasan, sukar berfungsi untuk menggembleng massa. Maka ditekankannya "inklusif", merangkumkan sesiapa sahaja yang menyokong Reformasi, yang hakikatnya membuka ruang untuk diambil kesempatan oleh oportunis.
Parti ini paling banyak melahirkan "katak" selepas PRU12, sebelum dikawal dengan tapisan yang lebih rapi dalam PRU13, itupun gagal menghalang apa yang berlaku di Sabah baru-baru ini. Lebih baik kita bersedia, andainya pembangkang hilang kerajaan negeri Selangor dalam PRU14, apakah PKR masih mampu bertahan?
Tanpa kuasa dan sumber sebagai faktor penyatu, apakah kita akan menyaksikan lompatan katak selepas itu? Dan jikalau ia berlaku, sudah tentu ia memberi impak yang besar kepada politik Malaysia, kerana suka atau tidak, PKR adalah parti berbilang kaum yang paling berjaya di Malaysia buat setakat ini.
Demikianlah senario-senario yang mungkin berlaku, dengan beberapa andaian dan analisis, yang agak negatif terhadap masa kini. Cuma politik adalah seni yang memungkinkan mustahil. Ia bukan statik tetapi dinamik. Masa depan hanya akan berubah seandainya perubahan dilakukan sekarang.
Kalaupun gagal ditambahbaik situasinya, sekurang-kurangnya cubalah menghalangnya daripada menjadi sesuatu yang lebih teruk.
Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment