MALAYSIAKINI
Seorang penagih dadah mengacu parang kepada beberapa anggota Agensi
Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak di Lumut malam tadi sebelum dia
melarikan diri.
Pengarah AADK Perak, Khairul Anwar Ahmad berkata suspek yang berumur
20-an itu terlebih dahulu memanjat bumbung rumahnya selepas menyedari
kehadiran anggota AADK kira-kira pukul 10 malam.
"Suspek yang merupakan seorang penganggur kemudiannya mengacu dan
melibas parang yang dipegangnya menyebabkan anggota kami tidak berani
memasuki rumah berkenaan.
"Anggota kami cuba memasuki kembali rumah itu, tetapi mendapati suspek
telah melarikan diri ke dalam semak samun di kawasan sekitar dan usaha
sedang dibuat untuk mengesannya," katanya dalam sidang media di Lumut
hari ini.
Beliau berkata 68 individu diperiksa sepanjang operasi itu yang bermula
pukul 6 pagi semalam hingga tengah hari tadi dan 26 daripadanya didapati
positif dadah.
Sementara itu dua lelaki ditahan kerana positif dadah dalam Ops Bersepadu di beberapa lokasi di sekitar Teluk Intan hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata
kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 42 tahun itu masing-masing
merupakan pemandu dan kelindan lori.
Di Kangar pula, dua pegawai AADK Perlis cedera manakala seorang lagi
patah tulang pipi akibat bergelut dan terjatuh ketika meyerbu sebuah
pondok yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Beseri malam
tadi.
Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata kejadian berlaku ketika
pegawainya sedang menjalankan Ops Aduan 29/2016 bagi membanteras
kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kampung Abi Batas Paip
dan Taman Beseri Paya bermula pukul 11 malam.
"Pegawai AADK yang berusia 24 dan 32 tahun itu cedera ketika cuba
bergelut dalam usaha menahan beberapa orang penagih dadah yang cuba
melarikankan diri dari pondok berkenaan," katanya.
Beliau berkata kedua-dua pegawai itu kemudiannya dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Azizah berkata dalam serbuan itu, seramai empat remaja berusia antara 13
hingga 18 temasuk dua di bawah umur ditahan kerana didapati positif
dadah jenis Methamphetamine.
"Dua daripada empat remaja berkenaan yang berusia 13 dan 14 tahun yang
ditahan itu sudah tidak bersekolah dan bertindak sebagai tokan dengan
menjalankan aktiviti pengedaran dan jual-beli dadah dalam kalangan
rakan-rakan mereka," katanya.
Beliau berkata imodus operandi terbaru pembekal dadah ialah menjadikan remaja sebagai pengedar kecil-kecilan.
"Kedua-dua suspek turut menjadikan pondok kecil bersebelahan rumah salah
seorang daripada mereka sebagai tempat melepaskan gian bersama rakan
penagih yang lain," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment