shahbudindotcom
Kalau
pun tidak "lumpuh", Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali sekarang ini
boleh dianggap "agak tempang" berikutan ramai pemimpinnya di peringkat
pusat, negeri serta bahagian telah mengambil keputusan untuk menyertai
PPBM, sebuah parti baru yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir Mohamad
yang bertujuan untuk menyingkirkan Najib Razak dalam PRU 14 akan datang.
Diantara
mereka itu ada yang memilih untuk terus kekal sebagai ahli Perkasa dan
ada juga yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Tetapi,
semua yang menyertai PPBM itu mengambil keputusan tidak mahu lagi aktif,
enggan menghadiri mesyuarat dan ada juga yang tidak mahu ambil peduli
langsung tentang Perkasa.
(Nota
8.05 malam - Sebentar tadi saya baru dihubungi oleh Ibrahim Ali melalui
Whatsapp yang mengatakan pertemuannya dengan Tun Mahathir esok tidak
ada kena-mengena dengan usaha untuk memulihkan hubungan dengan bekas
Perdana Menteri itu. Beliau juga menolak dakwaan Perkasa menjadi lemah
dengan tindakan satu dua pemimpinnya menyertai PPBM, sebaliknya menurut
beliau, ia ada hikmahnya dan Perkasa tetap gagah dan perkasa dalam
perjuangannya.)
Terbaru yang meletakkan jawatan ialah Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.
Sebelum
ini Perkasa dan Ibrahim Ali adalah sinonim dengan Tun Mahathir. Beliau
bukan saja menjadi Penaung Kehormat NGO tersebut, malah jika tanpa
bantuan serta kelibat bekas Perdana Menteri itu sejak daripada awal
penubuhannya, ramai yang beranggapan tidak mungkin Perkasa boleh popular
seperti yang ada sekarang.
Sebab
itu, ketika Tun Mahathir mahu menubuhkan PPBM, parti yang mirip UMNO,
Ibrahim Ali dikhabar-anginkan akan turut menyertai parti itu
bersama-sama majoriti ahli serta pemimpinnya.
Langkah
itu dilihat tidak mustahil kerana memang diketahui sebahagian besar
pimpinan Perkasa adalah mereka yang rapat dan menyokong perjuangan Tun
Mahathir, terutama sejak Najib Razak mengambil sikap lebih berlembut
terhadap bukan Melayu dalam beberapa dasar serta pendekatan yang
diambilnya.
Beserta
kemungkinan ahli dan pimpinan Perkasa akan menyertai PPBM itu, Ibrahim
Ali turut dikhabarkan akan diberikan salah satu jawatan kanan dalam
parti itu.
Bagaimanapun,
sikap dan pendirian Ibrahim Ali mula berubah apabila Tun Mahathir
bertemu dan bersalaman dengan Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi pada 5
September lalu.
Dengan
berbaiknya semula Tun Mahathir dengan Anwar setelah lebih 18 tahun
bermusuhan dan tidak bertemu, Ibrahim dikatakan mula merasa terpinggir
kerana beliau sebelum ini kerap menghentam Ketua Umum PKR itu, termasuk
dalam buku biografinya yang bertajuk "Perjuangan Tanpa Noktah."
Buku
tersebut, edisi bahasa Melayu dilancarkan oleh Tun Mahathir, manakala
edisi bahasa Inggeris dengan tajuk "The Misunderstood Man" pula oleh Tun
Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 5 Jun lalu.
Susulan
itu, Ibrahim kemudian mempersoalkan hala tuju PPBM dengan menyifatkan
kesediaan Tun Mahathir menjalin hubungan semula dengan Anwar dan
berbaik-baik DAP telah menimbulkan seribu tanda-tanya.
Bagaimanapun,
pendirian Ibrahim Ali itu tidak diterima oleh sebahgaian besar ahli dan
pimpinan Perkasa pelbagai peringkat kerana mereka menyifatkan berpadu
tenaga dan saling bekerjasama untuk menyingkirkan Najib adalah keutamaan
semua pihak demi kepentingan rakyat dan negara.
Sejak
itu, Perkasa tidak lagi padu seperti dulu dan Ibrahim Ali seolah-olah
umpama panglima perang yang tidak lagi mempunyai ramai askar. Ini
berikutan semua yang memilih untuk menyertai PPBM adalah daripada
kalangan mereka yang selama ini dikenali vokal serta aktif bersama
masyarakat.
Berdasarkan
sambutan masyarakat terhadap PPBM, termasuk ahli dan pimpinan Perkasa
sendiri, Ibrahim kini mula digamit kebimbangan. Dalam waktu terdekat
ini, antara kerisauan beliau ialah mengenai jumlah kehadiran dalam
Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa pada November ini yang dijangka
diadakan di sebuah stadium di ibu kota.
Untuk
beralih sepenuhnya menyokong Najib dan kerajaan, Ibrahim dikatakan
sedar ia bukanlah langkah yang popular kerana majoriti rakyat sendiri
semakin menolak dan menjauhi UMNO dan BN.
Langkah
terbaik ialah memulihkan semula hubungan beliau dan Perkasa dengan Tun
Mahathir. Bagi tujuan itu, esok iaitu Khamis, 6 Oktober, Ibrahim
dikhabar mempunyai jadual pertemuan dengan Tun Mahathir di Yayasan
Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Dijangka
pertemuan tersebut bukan saja bertujuan untuk memulihkan semula
hubungan yang telah renggang itu, malah juga difahamkan untuk menjemput
Tun Mahathir merasmikan Perhimpunan Agung Perkasa pada November ini.
Soalnya,
apakah Tun Mahathir bersetuju untuk merasmikan Perhimpunan Agung
Perkasa dan tidak "berasa hati" kepada Ibrahim Ali yang tiba-tiba
dengan garang mempersoalkan hala tuju PPBM, baru-baru ini?
Jika Tun Mahathir bersetuju pula, apakah ia akan dituruti dengan penyertaan Ibrahim ke dalam PPBM?
No comments:
Post a Comment