Oleh Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Terserah kepada Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah
untuk memfailkan saman terhadap saya, demikian menurut Presiden Gabungan
NGO Malaysia Datuk Jamal Md. Yunos.
Beliau tetap dengan pendirian mengaitkan kumpulan BERSIH itu diresapi
dengan fahaman IS, dan menegaskan ia bukanlah satu fitnah kerana
mempunyai bukti terhadap tuduhan tersebut.
"Jadi apa yang dia nak buat itu hak beliau, saya juga ada hak saya.
Kalau beliau boleh mengemukakan saman kepada saya, saya juga boleh.
"Bagi saya apa yang saya nyatakan sebelum ini bukanlah satu fitnah, cuma beliau menganggap ia fitnah.
"Jadi biarlah mahkamah yang menentukan dan saya telah menyerahkan apa
yang saya tahu, maklumat yang saya dapat kepada pihak berkuasa dan biar
mereka menjalankan siasatan," katanya kepada Antarapos.
Semalam, Maria mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua Umno Bahagian
Sungai Besar kerana mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu
dengan Daesh.
Beliau memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam N Surendran dan Melissa Sasidaran.
Dalam tuntutan tersebut Maria menyatakan Jamal mengeluarkan kenyataan
fitnah itu pada satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC), 28 September lalu.
Jamal turut didakwa mengeluarkan perkataan fitnah kedua pada sidang
media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Oktober lalu.
Tambah Jamal lagi, beliau tidak akan berhenti daripada menyekat BERSIH menghasut rakyat mempercayai agenda negatif mereka.
"Apa juga yang dia (Maria Chin) mahu lakukan, mahu lantik sepuluh atau
dua puluh peguam sekalipun. Ia tidak akan menghalang kumpulan baju merah
untk menyekat, menghalau baju kuning ini di semua lokasi yang mereka
turun.
"Bila saya dapat maklumat, sesuatu yang boleh memudaratkan negara dan
orang ramai (jadi) saya perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa,"
katanya lagi.
No comments:
Post a Comment