OLEH TARMIZI ABDUL RAHIM
DARI sudut pandang lain, keghairahan segelintir penduduk negara ini berebut-rebut untuk membeli tudung sebenarnya amat baik kerana menggambarkan kesedaran mereka untuk menjaga aurat atau lebih tepat lagi menutup rambut.
Pada masa ini trend bertudung semakin berkembang dengan wujudnya pelbagai rekaan yang kadang-kadang tidak terfikir dek akal, tidak terkecuali juga para selebriti yang turut menumpang sekaki memperkenalkan jenama masing-masing. Persoalannya, kesedaran berhijab adakah kerana fesyen atau mematuhi tuntutan agama?
Bukan
berniat buruk sangka, ada yang berhijab tidak selari dengan kepatuhan
syariat. Banyak tudung dalam pasaran majoritinya jarang, singkat dan
menampakkan aurat.
Secara amnya terdapat dua
kategori wanita Islam di negara ini. Satunya berpakaian longgar dan
sopan tetapi membiarkan rambutnya ditiup angin; satu lagi kepalanya
berbungkus kemas dengan rekaan tudung terkini tetapi bajunya sendat
menampakkan lurah tubuh yang sebenarnya hanya halal dinikmati oleh
suaminya.
Apa itu aurat? Dari segi bahasa aurat
adalah keaiban manakala menurut istilah syarak, bermaksud
bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup. Aurat
wanita ialah keseluruhan badan kecuali muka dan tapak tangan, sama
seperti semasa bersolat.
Merujuk hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Saiditina Aisyah RA bahawa suatu
hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW
sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu,
Rasulullah terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’,
apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki
ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini” (Rasulullah SAW
mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).
Sabda
baginda dalam hadis lain: “Dua golongan ahli neraka yang belum aku
temukan, (1) kaum (petugas pemerintah yang zalim) yang memiliki cemeti
seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya, juga (2) wanita yang
berpakaian tetapi bertelanjang (berpakaian jarang, ketat sehingga
menampakkan susuk tubuh), mereka juga menyimpang daripada ketaatan
(kepada Allah kerana tidak menjaga kehormatan diri), cenderung (kepada
kaum lelaki dan menarik perhatian lelaki dengan lenggok jalan dan
pergerakan bahunya). Kepala mereka bersanggul seperti bonggol unta.
Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak berpeluang mencium baunya
walaupun bau syurga itu dapat dihidu dalam tempoh perjalanan sekian dan
sekian (jauh dan lamanya).” - Riwayat Muslim.
Industri
tudung atau busana Muslimah sebenarnya amat menguntungkan. Laporan
Kedudukan Ekonomi Islam Global 2015/2016 menganggarkan pengguna Islam
membelanjakan sebanyak AS$230 bilion (RM897 bilion) untuk fesyen pakaian
pada tahun lalu dan dijangka melonjak sehingga AS$327 bilion (RM1,275
bilion) menjelang 2019.
Di negara ini pula
dianggarkan terdapat kira-kira 10 juta wanita Islam pada tahun ini dan
hasil kajian mendapati seramai 3.75 juta daripada mereka cenderung
membeli-belah bagi memenuhi keperluan masing-masing termasuk
perbelanjaan busana Muslimah. Contohnya, jika sehelai tudung berharga
RM10, bermakna nilai pendapatan dalam industri berkenaan boleh mencecah
sekurang-kurangnya RM37.5 juta. Lumayan bukan? Maka tidak hairanlah
apabila pelbagai jenama dan rekabentuk tudung muncul dalam pasaran
dengan gimik serta promosi mengancam.
Sebenarnya
tidak salah berpakaian cantik untuk dilihat elok pada pandangan mata
sendiri dan orang lain kerana ini adalah fitrah bagi mana-mana manusia,
namun jangan keterlaluan. Islam itu amat syumul, setiap sesuatu tidak
hanya ditegah tetapi turut disediakan alternatifnya sama ada melalui nas
al-Quran atau hadis Rasulullah SAW.
Hakikatnya,
fenomena penjualan tudung dan cara pemakaiannya yang tidak lulus
syariah telah mencemarkan arahan menutup aurat dalam Islam.
No comments:
Post a Comment