Selasa, 12 April 2016

Tindakan Ramasamy beri kebimbangan kepada orang Islam - Muafakat

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kecaman Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy terhadap pendakwah terkenal Dr Zakir Naik mencetuskan kebimbangan masyarakat Islam di negara ini kata Presiden Muafakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina.
 
Justeru beliau menggesa supaya pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramasamy kerana ia turut melibatkan agama Islam itu sendiri secara tidak langsung.
 
"Ramasamy ini memberi saham kepada kebimbangan orang Islam ekoran daripada sikap beliau yang menggelarkan Dr Zakir Naik ini sebagai setan.
 
"Ini suatu perkara yang sangat bahaya dan pihak polis mesti segera mengambil tindakan kepada berliau dan jika gagal Ketua Polis Negara (KPN) perlu bertanggungjawab pada soal ini," katanya kepada Antarapos di sini hari ini.
 
Semalam, Ramasamy menggelar Dr. Zakir sebagai 'setan' di laman sosial Facebooknya, namun selepas dikritik para netizen, beliau menyunting status itu dengan memadam perkataan ‘satan’.
 
Ramasamy mendakwa Dr Zakir hanya mahu menyebarkan kebencian di kalangan bukan Islam di negara ini.
 
Dalam pada itu, Ismail menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pembatalan tersebut dengan mengambil kira kedatangan Dr Zakir sebelum ini yang tidak pernah menimbulkan sebarang kekacauan.
 
"Berapa kali Dr Zakir datang (ke Malaysia) jadi adakah kerajaan membuat kajian sehingga menatijahkan kepada pembatan program Dr. Zakir ini.
 
"Dia membincangkan tajuk perbandingan Hindu dengan Islam kemudian mengikut laporan media pihak polis mengatakan tentu dia akan menyentuh dan menghina, perkara itu tidak berlaku jika berdasarkan sejarah di India jadi buktinya,"ujarnya.
 
Terdahulu, polis menyarankan agar penganjur forum tokoh penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik yang dijadualkan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) Melaka, pada 17 April ini, dibatalkan. 
 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid, berkata forum mengenai persamaan di antara agama Hindu dan Islam wajar tidak diteruskan bagi memastikan ketenteraman awam di negara ini terjaga.
 
Katanya, pihak polis berpendapat forum yang membincangkan dua agama berbeza itu tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
 
 

Tiada ulasan: