Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berpendapat, debat bola sepak yang diutarakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak mengubah prestasi bola sepak negara.
Sebaliknya menurut beliau, Tunku Ismail yang kini pemangku Sultan Johor perlu diberi diberi peluang menerajui badan induk bola sepak negara.
Annuar berkata, tiada sebarang perubahan dilakukan FAM untuk memperbaiki ranking skuad kebangsaan yang kini jatuh merudum di tangga ke-174.
Malah, katanya, jika debat itu berlaku sekali pun, tiada perubahan akan berlaku kerana segala keputusan terletak di bawah FAM.
"Bagi saya sekarang ini bukan soal debat, tapi mengenai apa yang FAM akan buat. Kita bincang sekali pun, kuasa bola sepak terletak di bawah satu badan induk (FAM) saja.
"Jika sesiapa saja yang berdebat, tapi FAM hanya mendengar saja tidak akan ke mana.
"Sebab itu saya rasa langkah terbaik ialah menukar barisan kepimpinan FAM dan serah kepada Tunku Ismail," katanya seperti dilaporkan BH hari ini.
Pada 13 April lalu Tunku Ismail mencabar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan FAM untuk berdebat mengenai prestasi bola sepak negara.
Annuar berkata, sehingga kini FAM belum merangka rancangan jangka panjang bola sepak negara sedangkan di peringkat kementerian sekurang-kurangnya sudah ada pelan induk mengenai sukan nombor satu negara itu.
Memberikan contoh pelan tersebut katanya, Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) sendiri apabila melakukan perancangan, ia mesti membabitkan pelan untuk tempoh 50 tahun akan datang.
"Digantung, dibuang dan macam-macam cerita keluar, tapi FAM tetap masih sama. Cuba lihat Jepun, mereka lebih maju malah setaraf dengan pasukan di Eropah," katanya.
FAM yang kini diterajui Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) yang dipilih sebagai presiden selepas menewaskan Tunku Ismail pada pada Kongres Tahunan FAM ke-50 pada Mei 2014 lalu.
No comments:
Post a Comment