shahbudindotcom
Najib
Razak akhirnya sedar UMNO dan BN tidak mungkin mampu memenangi
pilihanraya umum akan datang selagi beliau masih kekal sebagai Presiden
UMNO dan Perdana Menteri.
Pendedahan
demi pendedahan berkaitan 1MDB, wang beribu juta yang masuk ke akaun
peribadinya dan hakikat bahawa sudah enam negara memulakan siasatan
berkaitan syarikat pelaburan yang ditubuhkannya itu membuatkan Najib
akur bahawa segala-galanya kini tidak lagi memihak kepadanya.
Biar
bagaimanapun cuba bertahan, berdasarkan laporan-laporan yang
disampaikan ke mejanya, Najib terpaksa menerima hakikat bahawa berundur
adalah pilihan yang terbaik baginya demi masa depan UMNO, BN dan juga
untuk kebaikan negara.
Untuk
itu, Najib memutuskan untuk berundur di waktu yang sesuai dan
menyerahkan kepimpinan parti dan kerajaan kepada pemimpin lain untuk
menghadapi pilihanraya ke 14 yang akan diadakan pada 2018 nanti.
Permintaan
Najib cuma satu, beliau mahu diberikan laluan selamat dan dilepaskan
daripada sebarang pendakwaan di mahkamah setelah berundur nanti.
Bagi
tujuan tersebut, pengganti yang dipilihnya mestilah tokoh berwibawa
yang mampu memenangi pilihanraya, memastikan UMNO terus berkuasa dan
setuju untuk menyimpan terus fail-fail berkaitan dirinya.
Meskipun
Zahid Hamidi adalah Timbalan Perdana Menteri dan sedang menjalankan
tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, kebimbangan Najib terhadap bekas
Setiausaha Politiknya itu merangkami dua perkara:-
-
karektor Zahid yang tidak cukup kuat untuk memimpin parti dan negara,
tidak diterima oleh pengundi bukan Melayu dan lemah dalam kelompok
golongan pertengahan Melayu yang semua itu lebih memungkinkan UMNO dan
BN kecundang juga dalam pilihanraya akan datang.
Jika
kalah dan Pakatan Harapan yang berkuasa, sudah tentu mereka akhirnya
akan mengheret Najib ke muka pengadilan dan ia menjadikan penyerahan
kuasanya kepada Zahid tidak memberi apa-apa makna kepada diri dan
keluarganya.
-
berikutan karektornya yang lemah juga, yang lebih membimbangkan Najib
ialah jika setelah menjadi Perdana Menteri, Zahid akan segera mengambil
jalan mudah dengan mendakwanya di mahkamah bagi mendapatkan sokongan
rakyat sebagaimana yang ditunjukkan oleh Tun Abdullah Badawi dahulu yang
membawa Kasitah Gadam ke muka pengadilan bagi menghantar isyarat
pentadbirannya benar-benar serius dalam memerangi rasuah yang melibatkan
jerung-jerung besar.
Dalam
bahasa yang mudah, Najib sebenarnya tidak percaya kepada Zahid Hamidi.
Oleh itu, untuk menyelamatkan dirinya, Najib mesti memilih orang lain
untuk mengambil alih tempatnya.
Pilihan
terbaik Najib ketika ini ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Ahli Parlimen
Gua Musang itu bukan saja mempunyai karektor yang kukuh untuk membawa
UMNO memenangi pilihanraya, mampu mentadbir negara, memulihkan keyakinan
pengundi bukan Melayu, mengembalikan kekukuhan ekonomi, malah juga
diterima oleh semua kelompok.
Orang bandar, penduduk kampung, golongan pertengahan, elit Melayu dan semuanya boleh menerima Tengku Razaleigh.
Disebabkan
kemampuan dan karektornya yang kukuh berbanding Zahid, Tengku Razaleigh
tidak memerlukan sama sekali elemen Najib dibawa ke mahkamah untuk
membantunya menarik sokongan rakyat.
Dengan
itu, dari segi menyediakan laluan selamat, sama ada sebelum atau
selepas pilihanraya, Tengku Razaleigh jauh lebih diyakini oleh Najib.
Selain
itu, dengan menyerahkan kuasa kepada Tengku Razaleigh yang sudah
berusia 78 tahun, bukan saja laluan selamat lebih terjamin untuk Najib,
bahkan untuk mencaturkan Hishammuddin sebagai calon Perdana Menteri
seterusnya turut menjadi lebih mudah.
Dengan
itu juga, melalui Tengku Razaleigh dan kemudian Hishammuddin mewarisi
kerusi Perdana Menteri, selamatlah Najib untuk selama-lamanya.
Masa
yang paling sesuai untuk Najib menyerahkan kuasanya kepada Tengku
Razaleigh ialah selepas Hari Raya Aidil Fitri nanti. Ini bermakna Najib
dan keluarganya akan meraikan Hari Raya nanti untuk kali terakhir
sebagai Perdana Menteri.
Selepas
itu, Najib sendiri akan membawa Tengku Razaleigh ke Istana Negara bagi
memohon perkenan Yang Dipertuan Agong bagi pertukaran Perdana Menteri.
Oleh
kerana semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO, menteri kabinet dan
Ketua-Ketua UMNO bahagian sudah sedia berdiri teguh bersama Najib, apa
saja yang dilakukannya tidak akan mendapat bantahan apa-apa daripada
mereka.
Semuanya
setuju belaka untuk menerima Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri
yang baru dan Zahid Hamidi akhirnya menjadi seorang lagi Timbalan
Perdana Menteri yang kecundang di tengah jalan.
Allahu Akbar...Allahu Akbar...tiba-tiba sayup kedengaran azan Asar dari masjid berdekatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan