MALAYSIA DATELINE
Mulai esok, ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan memulakan
usahanya untuk menyeret semua yang terlibat dengan skandal 1MDB bersama
beliau memasuki penjara.
"Esok (Isnin 18/4) saya akan mulakan kempen #1MDBWanted dengan
laporan polis terhadap Jho Low. Setiap minggu kita tumpu kepada individu
berbeza berdasarkan penemuan di dalam Laporan PAC Mengenai 1MDB," kata
Rafizi dalam kenyataannya.
Dalam forum anjuran Pakatan Harapan di Shah Alam 14 April lepas,
Rafizi berjanji akan menyeret sama semua yang terlibat dengan skandal
1MDB untuk bersama-sama beliau masuk penjara.
"Saya tidak mempunyai banyak masa dah, paling lama setahun lagi, saya
akan dimasukkan. Jadi saya berjanji, dalam masa yang ada ini saya akan
menyeret semua yang terlibat dengan 1MDB untuk menyertai saya," kata
Rafizi di forum itu.
Rafizi kini berhadapan dengan pelbagai tuduhan jenayah oleh kerajaan
Malaysia. Yang terakhir adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang
membawa hukuman penjara kepada beliau.
"Saya bersedia untuknya, namun saya tidak akan masuk bersendirian.
Saya akan seret mereka semua bersama saya," kata Rafizi dalam forum yang
penuh sesak dengan hadirin itu.
Turut serta menjadi penal dalam forum itu adalah Tun Dr Mahathir
Mohamad, Lim Kit Siang, Tony Pua, Cynthia Gebriel dan Khalid Samad
manakala moderatornya adalah wartawan The Malaysian Insider, Zulkifli
Sulong.
Menurut Rafizi dalam kenyataannya hari ini, ia akan bermula dengan
penasihat perniagaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan
isterinya, Jho Low.
"Laporan polis terhadap Jho Low akan dibuat di Balai Polis Dang Wangi
pada hari Isnin, 18 April jam 11.30 pagi. Saya galakkan kemudiannya
seberapa ramai pimpinan PH, aktivis dan rakyat biasa turut membuat
laporan polis terhadap Jho Low menggunakan contoh laporan yang saya akan
edarkan," kata Rafizi dalam kenyataan itu.
Beliau juga meminta jasa baik mereka yang membuat laporan #1MDBWanted
kemudiannya menghantar maklumat laporan (seperti No Laporan dan
lain-lain) kepada beliau di pautan yang beliau akan umumkan esok.
Bagi Rafizi, hanya tekanan rakyat yang akan menggoncang mereka yang
terlibat di dalam 1MDB untuk tampil memberi kenyataan mengenai
penglibatan Najib di dalam skandal ini.
No comments:
Post a Comment