Sabtu, 23 April 2016

Pilihan Raya Sarawak Autonomi: Sejauh mana keikhlasan PKR, DAP?


 
Oleh Robin Augustin


PKR dan DAP harus dipuji kerana telah sekian lama menyokong seruan autonomi Sarawak. Bahkan, bendullah sekiranya ada parti-parti politik yang tidak menyokong seruan itu. Lagipun, isu autonomi sangat hampir pada hati rakyat Sarawak.

Bagaimanapun, laporan-laporan berita mutakhir ini mempertikaikan sejauh mana keikhlasan kedua parti pembangkang itu menyokong seruan autonomi, atau samada mereka faham konsep itu.

Baru Bian, yang merupakan Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak dan juga ketua pembangkang negeri, mengeluh pimpinan parti di peringkat kebangsaan nampaknya menyimpang daripada persetujuan asal pengagihan kerusi yang telah dipersetujui antara PKR Sarawak dan DAP Sarawak.

Pengagihan kerusi itu ditentukan di Kuala Lumpur oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Dalam rundingan itu, Baru dan kebimbangannya dikatakan tidak diambil-kira.

Kini, perlawanan pelbagai penjuru nampaknya tidak dapat dielakkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sebenarnya, penulis tidak terkejut pemimpin Malaysia Timur seperti Baru dikesampingkan daripada perbincangan peringkat tertinggi di Malaysia Barat. Sesungguhnya, beberapa tahun lalu di Sabah, kepimpinan PKR melantik Azmin sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, tindakan yang tentu sekali mengecewakan ramai pimpinan tempatan.

Tersingkap wajah ketidakikhlasan pimpinan PKR dan DAP kebangsaan yang menyeru autonomi tetapi mahu memberikan kata putus dalam rundingan kerusi ini. Sekiranya mereka tidak boleh memberi autonomi penuh kepada sayap-sayap mereka di Sarawak dalam hal pilihan raya, apa pula kebarangkaliannya mereka akan menghormati autonomi di peringkat urustadbir negeri dan perkara-perkara penting yang lain?

Kita dimaklumkan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengkritik Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang didakwa gagal mendapatkan “autonomi sebenar” untuk Sarawak. Tetapi Adenan, tidak seperti Baru mahupun Chong, bukan sahaja mempunyai autonomi untuk menghalang parti-parti BN dari Semenanjung memasuki Sarawak, tetapi juga menentukan calon BN yang mana bertanding dalam pilihan raya. Malah, beliau turut menarik seorang menteri Persekutuan, Datuk Seri Douglas Uggah Embas, kembali ke Sarawak untuk bertanding di peringkat negeri.

Harus digariskan juga desakan autonomi yang lebih kuat daripada Adenan ini merentasi percaturan politik, seperti yang boleh kita lihat dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negeri. Dua keputusan itu tidak serasi dengan dasar-dasar Putrajaya.

Dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang, PKR dan DAP diberi peluang untuk menunjukkan erti autonomi Sarawak bagi mereka. Malang sekali, lantaran kegagalan mereka menerima persetujuan antara pengerusi negeri masing-masing, kepimpinan tertinggi PKR meunjukkan mereka tidak mendakap, impian Sarawak.
 
 

Tiada ulasan: