Ahad, 24 April 2016

Perang Maskot Mula Warnai PRN Sarawak

Oleh: D.KANYAKUMARI
 
 
 


PETALING JAYA: Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11, 'perang maskot' telah bermula.
Haiwan seperti burung, lebah atau badak sering menjadi pilihan dengan kebanyakan parti politik mempunyai maskot untuk mewakili mereka.

Antaranya, DAP yang memilih burung enggang yang dinamakan sebagai 'Ubah' sejak Pilihan Raya Negeri itu pada 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, Violet Yong (DAP) memberitahu The Star Online bahawa parti itu memilih maskot tersebut kerana ia cara terbaik untuk berhubung dengan orang ramai.

"Maskot itu adalah sisi lembut parti tersebut dan ia memberi sentuhan peribadi yang tidak boleh diperolehi menerusi sebuah logo.

"Sebuah logo adalah sesuatu yang anda tidak boleh bergantung sepenuhnya manakala maskot adalah salah satu cara untuk kami mendekati golongan muda mahupun tua dengan lebih berkesan di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata menjelang pilihan raya negeri yang akan datang, maskot parti itu kini dinaik taraf kepada 'Ubah Warrior'.

"Kali terakhir, ia comel kerana baharu sahaja dilahirkan. Kini ia semakin matang dan beberapa kerusi yang ditandingi DAP meningkat dua kali ganda sejak pilihan raya negeri yang lalu.

"Semakin lama, semua orang di dalam parti semakin matang termasuk maskot tersebut," kata Yong.
Dan apabila adanya burung, akan sentiasa ada lebah.

Hampir sebulan yang lalu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut melancarkan maskot parti itu iaitu seekor lebah kuning bersaiz gergasi dengan tagline 'We Can Bee'.

Adun Kota Sentosa (SUPP), Wilfred Yap berkata parti itu memilih lebah sebagai maskot mereka kerana serangga itu sinonim dengan simbol perpaduan.

"Jika anda lihat serangga itu, ia hidup dalam satu kumpulan dan sering bekerjasama.

"Jika anda cuba mencederakan seekor lebah, beberapa lebah yang lain akan menyerang anda dan itu apa yang cuba kami gambarkan, kami akan berdiri teguh untuk rakyat Sarawak," katanya.

Yap turut mengkritik maskot DAP dengan menegaskan 'burung merupakan haiwan individualistik', tidak seperti lebah yang sering menjaga satu sama lain.

Parti itu turut melancarkan maskot tersebut dengan slogan 'ooh-ha', tagline yang sering disebut Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Tiada ulasan: