PETALING JAYA: Lebih 200 penduduk kondominium di Damansara Perdana
gempar apabila dimaklumkan terdapat lima butir bom ditemukan dalam
sebuah unit kediaman itu pagi tadi.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata beliau sekeluarga
terkejut apabila jirannya memberitahu blok kediaman mereka sedang
dikawal dengan ketat oleh pasukan polis serta Bomba dan Penyelamat
Malaysia kerana terdapat bahan letupan.
"Bimbang dengan keselamatan, kami segera membawa keluarga keluar dari
rumah dan turun ke tingkat bawah bersama jiran yang lain," katanya
ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata serbuan
yang dibuat hasil risikan awal itu berjaya menemukan bahan letupan itu
dalam sebuah unit di tingkat 17 bangunan berkenaan pada 4.30 pagi tadi.
Dua suspek yang dipercayai warga tempatan bagaimanapun telah meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis.
"Hasil pemeriksaan polis di dalam rumah itu terdapat lima butir bom
buatan sendiri, bahan-bahan litar elektrik serta belerang yang digunakan
untuk membuat bom.
"Polis turut menemukan kotak berwarna hitam berisi sejumlah dadah jenis
syabu serta pil ekstasi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian
hari ini.
Mohd Zani berkata semua bahan letupan itu dibawa ke kawasan lapang
berdekatan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia bagi kerja
memusnahkan semua bom berkenaan.
Beliau berkata motif bahan letupan itu dibuat masih disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment