Isnin, 11 April 2016

Pemuda Pas mahu IGP tarik balik larangan ceramah Dr. Zakir Naik

 MALAYSIA DATELINE


Pemuda Pas mahu Zakir Naik dibenar ceramahPemuda Pas mahu Zakir Naik dibenar ceramah


Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menggesa pihak polis menarik balik larangan ceramah Dr Zakir Naik bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ yang dijadualkan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Ahad ini.

DPPM menyifatkan tindakan pihak polis melarang ceramah pendakwah perbandingan agama Dr Zakir Naik sebagai langkah ke belakang dan tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu yang tidak dapat meraikan perbincangan ilmiah dalam dimensi perbezaan agama.

Ketua Penerangan DPPM Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebarang ceramah yang diadakan oleh Dr Zakir Naik hanyalah bersifat perbandingan agama semata-mata dan boleh disangkal melalui hujah-hujah ilmiah juga dengan disaksikan oleh ribuan penonton secara langsung.

“Menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah di sebuah lokasi yang bersifat akademik hakikatnya merupakan satu tindakan lemah oleh sebuah kerajaan yang pernah menabalkan Dr Zakir Naik sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2012 yang lepas.

“Hadir dan berdialog secara berdepan ialah satu langkah yang paling sesuai, manakala menggelar penceramah ini sebagai ‘syaitan’ seperti yang dilakukan oleh pemimpin parti politik tertentu hanya mengesahkan sifat cauvinis dan rasis yang dinafikan selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan larangan ceramah tersebut menerusi twitternya pagi tadi.

Beliau berkata, larangan itu dibuat demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia.

DPPM bagaimanapun menggesa pihak polis menarik balik larangan tersebut dan mendesak pihak kerajaan untuk turut campur tangan bagi memastikan kebebasan bersuara yang menjadi salah satu elemen penting dalam amalan demokrasi terus dipertahankan.

“Adalah amat janggal apabila artis-artis dari luar negara bebas untuk mengadakan konsert di negara ini sekalipun dibantah oleh umat Islam,tiba-tiba seorang penceramah yang hanya menggunakan hujah ilmiah dihalang semata-mata bantahan dari golongan minoriti,” kata Ahmad Fadhli.

Tiada ulasan: