MARANG: Pertembungan di antara DAP dan PAS berkemungkinan besar berlaku
pada pilihan raya umum akan datang selepas parti Islam itu memberitahu
ia tidak teragak-agak meletak calonnya di kerusi dipegang oleh bekas
sekutunya itu.
Dalam temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang dipetik oleh The Star,
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya akan meletak
calon Cina dan India di kawasan dikuasai oleh DAP pada pilihan raya
akan datang.
Katanya, sejak PAS berpisah dengan DAP berikutan hancurnya Pakatan
Rakyat, tidak wujud lagi sekatan, sambil menyatakan ia akan
mempertaruhkan calon Cina dan India daripada pergerakan bukan Islamnya,
Kongres Penyokong PAS.
PAS kini bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan)
manakala DAP pula bersama Pakatan Harapan yang turut dianggotai oleh PKR
dan serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN).
“PAS akan meletak calon di kerusi DAP, walaupun ia bermakna akan berlaku pertembungan pelbagai penjuru,” katanya.
Abdul Hadi berkata, walaupun banyak pihak merasakan pertembungan
pelbagai penjuru akan menguntungkan Barisan Nasional, beliau tidak
berfikiran begitu.
“Jika pengundi tidak berpuas hati dengan kedua-dua Barisan dan DAP, PAS akan menjadi pilihan mereka,” tambahnya.
Katanya, ada berpendapat menyatakan banyak bukan Muslim menyokong PAS
pada pilihan raya umum lalu kerana ada pakatan dengan DAP.
Umumnya, pendapat itu tidak salah katanya, sambil menambah PAS bakal
hilang sokongan ini kerana ia tidak lagi ada hubungan dengan DAP.
“Tetapi berbanding dengan kehilangan sokongan ini, saya lebih khuatir
mesej PAS tidak sampai kepada bukan Islam. Jika mesej ini tidak sampai,
mereka tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh PAS,” tambahnya.
Abdul Hadi mengakui masih terlalu awal untuk bercakap mengenai
pembahagian kerusi kerana pilihan raya umum akan datang masih jauh lagi.
Katanya, PAN bukan ancaman kepada PAS sambil mengingatkan menjadi
tanggungjawab semua Muslim untuk melaksanakan undang-undang hudud.
“Kami tidak menangguhkan pelaksanaan undang-undang hudud kerana kami
ada pakatan dengan Ikatan. Kami terpaksa menunggu pindaan terhadap
Perlembagaan Persekutuan bagi Kelantan bagi melaksanakannya dan ini
memakan masa.
“Maka kami mengambil keputusan untuk menangguhnya sementara untuk
memfokus terhadap masalah dihadapi oleh negara dan rakyat,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan