Friday, April 22, 2016

Najib Mohon Batal Saman Tun Mahathir Dan Dua Lagi

MSTAR ONLINE


 
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk membatalkan saman oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi terhadapnya atas alasan tiada elemen perbuatan salah laku seperti yang didakwa ketiga-tiga plantif.

Peguam Wan Azmir Wan Majid, mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa saman difailkan Tun Dr Mahathir, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Anggota Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin selaku plaintif itu bersifat remeh dan menyusahkan mahkamah.

"Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada Selasa atas alasan tidak terdapat elemen perbuatan salah laku (eng: tort misfeasance) seperti yang terkandung dalam writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif, "katanya.

Beliau berkata permohonan itu akan didengar pada 23 Jun di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub.

Peguam itu berkata demikian selepas pengurusan kes saman itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Erry Shahriman Nor Aripin pada Rabu yang turut dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bertindak bagi ketiga-tiga plaintif.

Mohamed Haniff Khatri berkata mahkamah juga mengarahkan perdana menteri untuk memfailkan pernyataan pembelaannya sebelum atau pada 28 April ini.

Pada 23 Mac lepas, Mahathir, 90, Khairuddin, 54, dan Anina, 41, memfailkan saman terhadap Najib selaku defendan berhubung dakwaan salah laku membabitkan1 Malaysia Development Berhad (1MDB). -Bernama

No comments: