Rabu, 20 April 2016

Muhyiddin hilang sokongan majoriti?



 
Oleh Datuk Dr Marzuki Mohamad


Professor Datuk Dr Ramlah Adam membuat komen yang disiarkan di Free Malaysia Today semalam bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada tempat lagi di dalam UMNO kerana majoriti ahli-ahli UMNO setia kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Penyertaan Muhyiddin bersama-sama Tun Dr Mahathir dalam gerakan Selamatkan Malaysia dikatakan penyebab utama Muhyiddin diketepikan oleh majoriti ahli-ahli UMNO. Beliau menggelar Muhyiddin, Mohd Shafie Afdal dan Mahathir sebagai golongan kecewa yang ditolak oleh majoriti ahli UMNO.

Saya menghormati Professor Ramlah sebagai salah seorang pakar sejarah yang ternama di Malaysia. Saya sering mengikuti pandangan-pandangan beliau mengenai politik tanah air, khususnya tentang UMNO. Namun, saya mempunyai mengenai pandangan yang agak berbeza daripada beliau berkenaan hal yang dibicarakan di atas.

Terdapat kaedah-kaedah tertentu untuk menguji tahap sokongan ahli-ahli parti terhadap seorang pemimpin politik. Yang paling mudah ialah pemilihan parti. Yang menang pastinya telah mendapat sokongan majoriti, manakala yang kalah telah kehilangan sokongan. Namun, tiada pemilihan parti yang dibuat dalam masa terdekat untuk mengetahui dengan tepat tahap sokongan ahli-ahli parti kepada mereka.

Cara yang kedua untuk menguji tahap sokongan ialah kajian tinjauan pendapat melalui kaedah persampelan. Professor Ramlah tidak mengemukakan data-data daripada hasil tinjauan pendapat untuk menyokong kenyataan beliau. Jadi, boleh diandaikan tiada kajian seumpamanya dibuat. Melainkan satu kajian yang berkredibiliti dibuat mengenainya, maka barulah boleh dikatakan pandangan yang dikemukakan adalah sahih dan berasas.

Namun begitu, adalah menjadi kebiasaan bagi pemerhati politik untuk mengemukakan pandangan berdasarkan pemerhatian yang diperolehi daripada perbualan dengan pihak-pihak tertentu, pembacaan bahan-bahan berkaitan, penyebaran berita atau cerita, dan penyertaan dalam acara-acara yang ada kaitan dengan subjek yang dikaji. Ini juga satu kaedah yang tidak salah untuk digunakan.

Misalnya, kita boleh perhatikan hampir kesemua Ketua UMNO Bahagian menyatakan sokongan kepada Najib. Bermakna mereka tidak menyokong Mahathir, Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz. Tetapi adakah suara Ketua Bahagian mewakili suara semua ahli di akar umbi? Tentu sekali tidak. Sebahagian besar ketua bahagian pun tidak mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli di bahagian masing-masing. Jadi, agak berisiko untuk mengatakan majoriti ahli UMNO menolak Muhyiddin dengan hanya bersandarkan sokongan ketua-ketua bahagian kepada Najib.

Kecuali diadakan satu referendum yang bebas di peringkat bahagian untuk menentukan sokongan ahli-ahli samada kepada Najib atau Muhyiddin, maka barulah boleh kepututusan referendum itu dijadikan penentu tahap sokongan yang sahih dan tepat kepada kedua-kedua pemimpin ini.

Tanpa bersandarkan satu kajian yang terperinci, saya boleh perhatikan sokongan akar umbi UMNO kepada kumpulan 4M (Mahathir, Muhyiddin, Mohd Shafie dan Mukhriz) masih tinggi. Dalam siri jelajah yang disertai oleh keempat-empat pemimpin ini, sambutan ahli-ahli akar umbi UMNO kepada mereka adalah memberangsangkan. Pemimpin akar umbi UMNO yang terdiri daripada Ketua-Ketua Cawangan, pemuda dan para penyokong mereka tampil menganjurkan acara-acara pertemuan para pemimpin ini bersama ahli-ahli akar umbi UMNO walaupun mendapat tentangan dan halangan daripada pemimpin bahagian yang pro-Najib. Tidak mudah untuk ahli-ahli UMNO membentuk ‘rebel alliance’ yang diketahui akan mendapat pelbagai tekanan daripada pemimpin tempatan.

Malah, pertama kali dalam sejarah UMNO, ketua-ketua cawangan membentuk kumpulan yang dinamakan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan parti. Ada antara ketua cawangan yang menyertai kumpulan ini telah dipecat atau digantung keahlian mereka. Namun, ini tidak menghalang semangat mereka untuk terus bersuara. Mereka juga telah menubuhkan kumpulan penyokong yang terdiri daripada ahli-ahli biasa UMNO.

Terdapat juga pemimpin akar umbi UMNO yang menyertai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan mereka bergerak aktif dalam pertubuhan-pertubuhan ini untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan parti. Ramai di kalangan mereka yang jelas menyokong kumpulan 4M dan menggesa mereka untuk melakukan perubahan di dalam UMNO.

Selain itu, yang lebih bahaya kepada UMNO ialah mereka yang melakukan protes di dalam senyap. Golongan ini tidak akan mendekati kumpulan 4M atau menyatakan sokongan kepada mereka. Tetapi mereka juga tidak menyokong kepimpinan parti.

Terdapat beberapa indikator tentang protes senyap ini. Saya diberitahu oleh seorang pemimpin bahagian, ramai ahli UMNO tidak lagi berminat untuk menyertai program parti. Mesyuarat parti di peringkat cawangan juga sukar diadakan kerana ahli-ahli tidak berminat untuk hadir. Malah, program pendaftar pemilih yang dijalankan oleh parti juga tidak mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kesan protes senyap akhirnya dirasai dalam pilihanraya. Mereka mungkin tidak akan bekerja untuk parti atau lebih malang tidak turun mengundi kerana kecewa. Ini bukannya sesuatu yang mustahil. Misalnya, berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai, terdapat hampir 7000 penyokong UMNO tidak turun mengundi dalam pilihanraya kecil bagi parlimen Permatang Pauh pada tahun 2015. Dalam PRK tersebut, calon UMNO Shuhaimi Shabudin kalah kepada calon PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

PRK Permatang Pauh berlangsung sebelum tercetusnya krisis kepimpinan di dalam UMNO. Adakah kedudukan UMNO akan bertambah baik dengan tercetusnya pelbagai krisis dan isu yang melingkari parti dan pemimpinnya pada waktu ini?

Yang lebih penting untuk dianalisa bukanlah kedudukan Muhyiddin, Mohd Shafie dan Mukhriz di dalam UMNO, tetapi kedudukan UMNO di dalam pilihanraya.

*  Datuk Dr Marzuki Mohamad ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tiada ulasan: