Selasa, 12 April 2016

Kerajaan putuskan Zakir Naik dibenarkan berceramah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk membenarkan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik meneruskan syarahannya di Melaka pada 17 April ini walaupun sebelum ini polis mengarahkan penganjur supaya membatalkannya.
 
Bagaimanapun, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menetapkan syarat supaya program tersebut yang bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ ditukar namanya.
 
“Kerajaan memutuskan ada kompromi dan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka untuk ceramah itu diteruskan dengan tajuk yang lain,” katanya.
 
Semalam, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penganjur acara itu akan dipanggil ke Bukit Aman.
 
"Kami akan memanggil penganjur forum berkenaan untuk mencadangkan agar ia tidak diteruskan.
 
"Pada pandangan kami, apabila pendakwah membincangkan topik persamaan antara agama Hindu dan Islam, (perbincangan) ini tidak boleh lari daripada menyentuh kelemahan agama lain," katanya, sambil menambah bahawa perbincangan itu tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
 
Ini kerana, katanya, ia dikhuatiri boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan negara kerana menyentuh sensitiviti agama.
 
Zahid juga mendedahkan arahan pembatalan itu sebelum ini adalah berdasarkan aduan bukan sahaja daripada masyarakat beragama Hindu tetapi juga daripada pemimpin agama Islam.
 
"Aduan yang dibuat bukan sahaja oleh pemuka-pemuka agama Hindu tetapi juga pemimpin-pemimpin agama Islam," katanya.
 
Zahid berkata atas kompromi daripada pihak penganjur, kerajaan mengambil keputusan sebaliknya hari ini kerana berpandangan majlis agama harus digalakkan dan diraikan.
 
Ditanya apakah penganjur perlu memaklumkan program seumpama itu kepada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama sebelum menganjurkannya, beliau berkata secara asasnya ia perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
 
Katanya ia penting sekiranya program itu membabitkan pendakwah daripada luar negara kerana sebarang tindakan KDN berkenaan program tersebut dibuat berdasarkan nasihat daripada Jakim.
 
"Itu pegangan kita ... dan itu juga menjadi panduan kepada KDN, di mana agensi pelaksananya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya, dan menambah pihaknya tidak dimaklumkan mengenai tajuk itu sebelum ia menjadi kontroversi.
 
Bagi mengelak insiden serupa berulang, beliau menyarankan penganjur program ceramah umum, khususnya yang melibatkan penceramah luar negara supaya memaklumkan berkenaan tajuk dan topik perbincangan kepada Jakim terlebih dahulu.
 
Berhubung tanggapan sesetengah pihak bahawa Zakir itu sendiri puncakontroversi, Zahid berkata semua pihak perlu berfikiran terbuka danmeraikannya atas nama majlis ilmu.
 
"Ini soal majlis ilmu, dan majlis seperti ini mesti diraikan asalkan ia bukannya Islam liberal atau Islam plural," katanya.
 
Sementara itu, Bernama melaporkan Idris berkata kerajaan negeri tiada halangan bagi penganjuran syarahan Zakir di Utem.
 
"Saya sendiri mengenali Dr Zakir Naik sebagai penceramah yang cukup luas pengetahuan dan kepakaran dalam bidang agama, malah selain memberi pengetahuan beliau penggiat kebajikan dikenali dunia," katanya.
 
Idris berkata beliau juga ditemui sekumpulan penganut agama bagi memohon beliau membatalkan program tersebut, namun menegaskan kepada kumpulan itu tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya pegangan agama masing-masing kukuh.
 
 

Tiada ulasan: