ALOR SETAR: Seorang guru wanita dikejarkan ke hospital selepas terpijak
seekor ular di bilik stor sekolah pada tengah hari, kelmarin.
Walaupun kaki kirinya kebas selepas insiden itu, doktor di Hospital
Sultanah Bahiyah mengesahkan beliau tidak dipatuk reptilia itu.
Kejadian di Sekolah Kebangsaan Mergong itu, guru berusia 23 tahun itu
masuk ke bilik stor untuk mengambil barang keperluan mengajar apabila
terpijak ular sawa burung.
Terkejut melihat ular berwarna hijau itu, dia berlari keluar dari stor
itu dan memberitahu rakan setugasnya yang segera membawanya ke hospital.
Petugas keselamatan sekolah itu berjaya membunuh ular berkenaan.
Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kota Setar, Sarjan Mohd
Redza Mohd Rais berkata, panggilan kecemasan diterima dan anggotanya
telah diarah untuk ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba, ular itu sudah mati," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail
berkata, guru berkenaan mendapat rawatan kecemasan di hospital
berkenaan.
"Dia dalam keadaan stabil tanpa sebarang kesan dipatuk pada kaki.
"Guru berkenaan masih dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas
mengadu kakinya kebas," katanya sambil menambah guru berkenaan telah
dibenarkan pulang pada Jumaat.
Pada Rabu, murid Tahun Satu SK Datuk Hashim 1 Kota Baru, Kelantan,
Nuriey Nadhirah Roslan meninggal dunia akibat dipatuk ular di kawasan
sekolahnya.
No comments:
Post a Comment