Khamis, 7 April 2016

Gabenor Pulau Pinang buat Muhyiddin



 

Oleh SUBKY LATIF


DAKWAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin, dia ditawarkan untuk jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang boleh dipercayai. Beliau menolaknya justeru dia ada maruah.

Maruah macam mana tidak perlu tanya. Tentu ada sebab tawaran itu dibuat.

Risik tentang gabenor tentu datang dari Perdana Menteri Najib. Yang boleh menasihatkan Yang Dipertuan Agong memperkenan menjadi gabenor hanya Pedana Menteri. Jika ada sesiapa mahu orang itu dan orang ini jika Perdana Menteri tidak setuju, ia tidak akan jadi.

Percayalah kita ia adalah politik Najib. Bagaimana Najib boleh terikir begitu adalah masalahnya.

Percubaan memenangi hati Muhyiddin itu kira-kira imbas perlantikan Perdana Menteri Tun Razak ke atas Tan Sri Sardon Jubir bagi menjadi Yang Dipertua Negeri Puau Pinang seleps kematian Timbalan Perdana Menteri Tun Dr. Ismail tahun 1973.

Orang Umno paling kanan selepas Tun Dr. Ismail ialah Menteri Tan Sri Sardon Jubir. Dia naib presiden pertama Umno masa itu. Dua naib presiden yang lain ialah Kapten Hussein Onn dan Encik Ghafar Baba.

Pilihan Perdana Menteri Tun Razak bagi Timbalan Perdana Menteri ialah Kapten Hussein Onn, tetapi bagaimana hendak mengenepikan Tan Sri Sardon sedang dia bukan saja kanan dalam parti tetapi pimpinan kanan Umno zaman Dato’ Onn lagi.

Dari tahun 1951 Kapten Hussein yang pernah jadi Setiausaha Agung Umno itu hilang dalam parti justeru ayahnya Dato’ Onn keluar Umno hingga dia timbul semula tahun 1969.

Ketika Tun Razak singgah di Perhimpunan Agung Umno dan dipilih jadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Sardon adalah Timbalan Yang di Pertua Agung Umno. Justeru Tun Razak lebih berminat untuk jadi timbalan kepada Tunku Abdul Rahman, maka Tun Razak dan Sardon tukar jawatan suka sama suka. Tun Razak jadi timbalan dan Sardon jadi ketua pemuda.

Tidak diketahui atas nasihat siapa, Tun Razak mencadangkan Tan Sri Sardon menjadi Gabenor Pulau Pinang yang baharu. Apabila dia jadi gabenor, maka jadilah Kapten Hussein, biras Tun Razak orang Umno paling kanan bagi menggantikan Tun Ismail.

Ada juga gosip melangkah kedudukan Sardon itu, tetapi justeru setia Sardon pada Tun Razak, dia menerima. Apabila Tun Razak menyelitkan dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno bahawa Tan Sri Sardon akan dilantik jadi gabenor. Antara kelebihan Sardon untuk jawatan itu ialah Inggerisnya sehebat Inggeris orang Universiti Oxford.

Ketika ucapan penggulungan Sardon membangkitkan tidak senangnya perlantikan gabenornya justeru bahasa Inggeris diibaratkan dengan Inggeris Oxford. Dia minta maaf pada Tun membangkitkan isu itu dalam Perhimpunan.

Dia tidak dapat terima gurauan Tun Razak itu. Dia terima jawatan Gabenor itu semata-mata kerana setianya dan perhormatannya kepada Tun. Dengan alasan bahasa Inggeris Oxford itu katanya ‘Saya boleh tolak’ perlantikan gabenor itu.

Kebanyakan orang kanan Umno mengira reaksi Sardon itu satu tamparan kepada Tun Razak.

Kira-kira 42 tahun dulu Tun Razak tawarkan menteri dari Pontian jadi Gabenor Pulau Pinang dan kali ini Perdana Menteri Najib pula tawarkan jawatan sama pada bekas TPM dari Pagoh.

Kedua-dua tawaran itu ada ceritanya

Tiada ulasan: