KUALA LUMPUR - Dakwaan yang mengatakan ahli Syiah di negara ini mencecah sehingga 300,000 orang adalah tidak benar dan hanyalah khayalan semata-mata.
Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(Jakim), Ustaz Mohd Aizam Mas'od berkata, mengikut perangkaan Jakim dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ahli Syiah di negara ini dianggarkan tidak melebihi 3,000 orang.
"Golongan ini mendakwa ahli mereka sekitar 300,000 orang memandangkan mereka mengambil kira ahli syiah dari beberapa negara yang menetap di sini buat sementara waktu.
"Jadi dakwaan berkenaan hanyalah khayalan mereka dan di sebaliknya, mereka hanya ingin membuat tuntutan atas nama hak asasi manusia untuk bergerak bebas dan menggelakkan dari halangan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Seminar Antarabangsa Gerakan Syiah dan Kesannya Terhadap Dunia Islam yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) hari ini.
Menurut Mohd Aizam, jabatan agama Islam di seluruh negara ini sentiasa melakukan pemantauan dan penyelarasan terhadap isu-isu agama dan akidah yang mengancam negara.
Buat masa ini, Aizam memaklumkan bahawa penularan ajaran Syiah di Malaysia masih terkawal malah kerajaan juga telah membuat keputusan ajaran berkenaan tidak dibenar untuk diamalkan serta disebarkan di negara ini.
"Mereka bergerak dengan cara profesional pada hari ini termasuk cuba menggunakan ruang-ruang perundangan yang ada termasuk dengan menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.
"Mereka juga membuat perakuan sumpah menyatakan mereka berfahaman Syiah dan memohon ruang kepada kerajaan untuk tidak menghalang amalan mereka,"katanya.
Dalam pada itu, Aizam berkata, ajaran Syiah perlu diberi perhatian serius memandangkan sekiranya isu tersebut dibiarkan, ia dibimbangi akan menimbulkan konflik sehingga menyebabkan pertumpahan darah seperti yang berlaku di Yaman, Bahrain dan Syria.
Tambahnya, oleh sebab demikian, semua pihak di setiap peringkat perlu memainkan peranan bagi memastikan ajaran Syiah dapat dikekang dan tidak menular dalam negara ini.
No comments:
Post a Comment