PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran
bersedia untuk melepaskan sebahagian pegangan sahamnya kepada mana-mana
pelabur demi memastikan syarikat penerbangan itu terus berkembang dan
kekal relevan dalam industri.
Beliau yang juga pemilik Rayani Air berkata, kekurangan dana merupakan
antara faktor utama syarikat penerbangan itu berdepan dengan masalah
sehingga timbul tindakan mogok yang dilancarkan juruterbangnya baru-baru
ini.
Bagaimanapun Ravi menjelaskan keputusan melepaskan pegangan saham itu
bukan bertujuan untuk ‘menjual’ syarikat penerbangan yang dibinanya
selama ini bersama isteri, Datuk Karthiyani Govindan.
“Saya bukan menjual sepenuhnya tetapi saya akan membiarkan mereka (pelabur) mengembangkan syarikat.
“Mana-mana pihak yang mahu melabur dan mengembangkan syarikat, kita
sedia (melepaskan sebahagian pegangan),” katanya kepada mStar Online
ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.
CEO Rayani Air sedia melepaskan sebahagian pegangan sahamnya demi memastikan syarikat penerbangan itu terus berkembang.
Minggu lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan penggantungan operasi Rayani Air selama tiga bulan.
Ditanya adakah keputusan itu menunjukkan beliau sudah berputus asa
untuk mengusahakan Rayani Air yang tidak henti dilanda masalah dan
kontroversi, Ravi berkata, beliau masih pemilik syarikat tetapi hanya
pegangan saham yang akan berkurangan.
“Saya merupakan pemilik Rayani Air dan sekarang mempunyai 100 peratus
pegangan saham, tetapi kita sedia melepaskan sebahagiannya.
"Saya dan isteri serta warga kerja Rayani Air sayangkan syarikat ini.
Kami mahu ia terus bergembang dan kekal relevan,” katanya.
Menurut Ravi, setakat ini terdapat empat pelabur yang menawarkan dana
kepada syarikat penerbangan itu - tiga syarikat tempatan dan satu
pelabur asing.
Bagaimananapun katanya, kesemua pelabur membuat tawaran untuk sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham.
“Kita bersedia untuk melepaskannya. Bagaimanapun, kita perlu teliti
terlebih dahulu dengan janji, pihak berkenaan akan melabur dan
mengembangkan syarikat,” ujar Ravi.
Terdapat pelabur tempatan dan asing yang berminat untuk melabur dalam Rayani Air.
Mengenai perolehan dana, Ravi menjelaskan bahawa peringkat awal ialah
melangsaikan semua hutang-hutang dan membayar gaji pekerja.
“Sebagaimana yang kita maklumkan sebelum ini, kita akan melaksanakan
penstrukturan semula di samping memastikan operasi dan pengurusan lebih
cekap.
"Kita akan melaksanakan perkara ini terlebih dahulu sebelum pelan pengembangan," katanya.
Sebuah portal sebelum ini mendedahkan terdapat sebuah syarikat yang
tampil untuk membuat penajaan berjumlah ‘jutaan ringgit’ bagi fasa
pertama dan mendakwa urusan berkenaan hampir dimuktamadkan.
Menurut Ravi, penajaan itu bagaimanapun ditarik balik selepas pelabur
mengetahui terdapat masalah dalaman berkaitan tindakan mogok juruterbang
sehingga memaksa penerbangan dibatalkan.
Rayani Air merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di
Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi
Arabian Airlines dan Iran Air.
No comments:
Post a Comment