P'RAYA SARAWAK | Tiada bekalan air dirawat. Tiada bekalan elektrik. Mungkin beberapa jalan yang kotor.
Bagi sesetengah ahli muda pembangkang yang dicalonkan bertanding di kawasan pedalaman Sarawak dalam pilihan raya negeri kali ini, sesungguhnya kekurangan pembangunan di kampung halaman masing-masing menjadi pendorong kepada mereka.
Walaupun tidak berpengalaman dan masih baru dalam politik, namun mereka bercakap dengan penuh semangat tentang asas perjuangan mereka, dengan harapan kekurangan pembangunan di kawasan luar bandar akan turut membantu mereka meraih undi.
"Ia bukan sahaja saya," kata Paren Nyawi, calon DAP bagi kerusi Katibas.
"Apabila rakyat Sarawak menamatkan pengajian mereka, ramai akan berhijrah ke bandaraya (di Semenanjung Malaysia) dan bekerja di sana.
"Mereka akan membuat perbandingan apabila mereka pulang ke rumah, untuk bercuti dan sebagainya, dan melihat perbezaan besar antara Sarawak dan Semenanjung," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual pada 4 April.
Paren yang berusia 35 tahun itu bekerja di Kuala Lumpur sebagai juruaudit selama 10 tahun, tetapi kini bekerja sebagai seorang pembantu kepada Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling, selepas menyertai DAP tahun lalu.
Sentimen Paren turut dikongsi oleh rakannya dari PKR di Marudi, Elia Bit yang menuntut di Shah Alam untuk ijazah sarjana dalam kajian media dan maklumat perang saraf, sebelum berkhidmat seketika dengan Radio Free Sarawak.
Elia berkata jelajah tiga minggu ketika bertugas dengan Radio Free Sarawak tahun lepas menjadi pembuka mata untuk dia, bukan sahaja kerana kekurangan pembangunan di Sarawak, tetapi juga baginya dalam memahami politik.
"Apabila saya membaca jurnal dan penyelidikan mengenai orang saya, ia berkata Malaysia amat baik dan kita akan menjadi negara maju pada tahun 2020. Orang di Sabah dan Sarawak benar-benar kaya, dan semua itu.
"Tetapi apabila saya pergi ke peringkat akar umbi (untuk menjalankan temu bual), ianya sama sekali berbeza. Seratus peratus berbeza daripada apa yang saya pelajari dan apa yang anda berharap untuk melihatnya," kata Elia, 28.
Secara kebetulan, PKR mencari calon untuk bertanding di Marudi pada masa itu, dan Elia menjadi pilihah.
Ditanya bagaimana dia bercadang untuk membawa perubahan memandangkan Pakatan Harapan tidak mungkin dapat membentuk kerajaan negeri yang akan datang, Elia memberi satu anekdot mengenai tiang lampu berhampiran kampungnya, Long Lapok.
Katanya, tiang lampu itu didirikan sekitar tahun 2010, tetapi selepas pulang daripada pengajiannya tahun lalu, dia mendapati tiang lampu itu masih belum disambungn dengan mana-mana sumber elektrik.
Katanya, beliau membangkitkan isu itu di media dan dalam tempoh sebulan - pada bulan Ogos tahun lalu - lampu itu menyala.
"Sebab itu saya beritahu kampung-kampung di sana, 'Sebenarnya, kerja ini boleh dilakukan dalam tempoh sebulan. Mengapa mereka biarkan selama sehingga lima tahun? '
"Bolehkah anda bayangkan? 2010 adalah sebelum pilihan raya umum 2013. Mereka (parti BN) telah menggunakan isu itu (untuk bermain) politik pembangunan untuk memenangi undi. Oleh kerana mereka menang pada 2013, mereka biarkan projek itu, begitu sahaja, "katanya.
Sementara itu, calon DAP di Pakan - Rinda Juliza Alexander - sibuk bekerja di bawah inisiatif Impian Sarawak parti itu untuk membawa beberapa kemudahan asas kepada daerah pedalaman di kawasan pilihan rayanya itu.
No comments:
Post a Comment