PUTRAJAYA: Seorang peguam hari ini menyerahkan dua bukti baru kepada
Jabatan Peguam Negara berkaitan isu pelupusan lot tanah di Taman Manggis
dan pembelian rumah banglo di bawah harga pasaran melibatkan Ketua
Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Peguam Datuk Abu Backer Sidek, yang ditemui media sebelum menyerahkan
bukti forensik itu, turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi
Ali menyegerakan pendakwaan terhadap Lim.
Sebelum ini, beliau turut menyerahkan beberapa bukti forensik berkenaan
kes itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM).
Isu Lim membeli banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, Pulau
Pinang dibangkitkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya
pada persidangan Dewan Rakyat, yang mendakwa harga itu berada di bawah
nilai pasaran.
Tanah di Taman Manggis, yang sebelum ini diperuntukkan untuk pembinaan
projek perumahan rakyat termiskin (PPRT), pula dijual kepada pemaju dan
dirancang untuk pembinaan hospital swasta dan hotel. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment