ULASAN Wira PERKASA menyelar tindakan anggota jawatankuasa MCA Datuk Seri Ti Lian Ker yang menyatakan perlembagaan negara menyerlahkan rasisme dan mahu dia menutup mulut daripada memberi kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat Malaysia.
Saya ingin tahu adakah dia warganegara Malaysia?
Apakah dia pernah membaca dan memahami Rukun Negara? Lima teras dalam Rukun Negara adalah garis panduan bagi rakyat Malaysia.
Jadi jika dia faham tentang lima teras tersebut, dia tidak akan mudah mendakwa bahawa perlembagaan persekutuan menyerlahkan rasisme di negara ini.
Mengapa baru sekarang dia hendak mendakwa perlembagaan negara menyerlahkan rasisme?
Setelah 58 tahun negara kita telah merdeka dan menikmati keamanan serta keharmonian dalam kehidupan dan sekarang baru kata begitu?
Perlembagaan kita dibentuk berasaskan kepada dua dokumen yang terdahulu iaitu Perjanjian Tanah Melayu 1948 dan perlembagaan kemerdekaan 1957.
Ia dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah membuat kajian pada tahun 1956.
Perlembagaan negara telah berkuat kuasa setelah kita mencapai kemerdekaan.
Gagal BN, gagallah MCA
Jadi saya minta dia fahamkan tentang pembentukan perlembagaan negara ini.
Jangan hanya mendakwa yang bukan-bukan tentang perlembagaan.
Dalam perlembagaan terdapat beberapa perkara utama yang harus kita tahu.
Antara peruntukannya, agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan hak-hak yang mempertahankan orang-orang dan raja-raja Melayu.
Dia perlu ingat, jika perlembagaan menyerlahkan rasisme lebih baik ia digubal dan menjaga kepentingan bagi kaum tertentu sahaja. Namun ini tidak berlaku.
Malaysia sebuah negara demokrasi dan dalam hal ini ia tetap memperlihat perincian dan perlu menjaga kepentingan semua kaum.
Saya minta dia supaya tolong hentikan menuding jari dan menyalahkan orang lain dalam hal ini. Cermin diri sendiri dahulu.
Jika BN gagal dalam menyelesaikan isu rasisme maka MCA turut gagal dalam hal ini. MCA merupakan parti komponen BN.
Apa yang mereka dah lakukan bagi menyelesaikan isu berkaitan dengan rasisme ini? Mereka hanya tahu bercakap dan memberi komen sahaja dalam isu ini.
Tolak rasisme
Jika betul mereka menolak isu rasisme apakah usaha yang mereka lakukan dan sejauh mana kesan terhadap usaha mereka ini?
Selama ini PERKASA sering dilebel sebagai pertubuhan rasis. Namun PERKASA telah berusaha mengeluarkan keluar daripada persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa kita adalah pertubuhan rasis.
Kita telah membuat pertemuan secara rasmi dan menjemput wakil-wakil dari kaum lain dalam majlis rasmi yang diadakan.
Ini memperlihatkan bahawa perkasa sendiri menolak rasisme dalam negara. Saya ingin menjelaskan bahawa perlembagaan persekutuan negara tidak pernah menyerlahkan rasisme.
Sebaliknya mereka seharusnya bertanggungjawab dalam memahami tentang teras keluhuran perlembagaan dalam rukun negara agar perkara ini tidak mudah dieksploitasikan oleh mana-mana pihak.
Kami wira PERKASA ingin menegaskan bahawa jangan ada lagi mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dalam perkara yang berkaitan tentang perihal perlembagaan negara.
Kita minta supaya mereka berfikir dahulu sebelum bertindak. Jangan jadi bodoh yang tidak boleh diajar dan sombong tidak bertempat.
Wira PERKASA tetap akan mempertahankan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di negara ini.
IRWAN FAHMI IDERIS ketua Wira PERKASA.
No comments:
Post a Comment