HAZAYANI ZAKARIA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh lari daripada
mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan 1Malaysia Development Bhd
(1MDB) seperti dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
Khamis lalu.
Timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub
berkata, cadangan PAC agar lembaga penasihat 1MDB dimansuhkan
dialu-alukan namun tidak boleh mengalih isu undang-undang dan moral
Najib.
Beliau berkata, peletakan jawatan ahli lembaga 1MDB adalah perlu
namun ia tidak harus dijadikan langkah untuk menghentikan siasatan
terhadap Najib sebagai menteri kewangan yang bertanggungjawab terhadap
pengurusan 1MDB.
“Bagi memenuhi tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga
pengerusi 1MDB, Najib mesti terus bertanggungjawab terhadap isu 1MDB
sehingga penjelasan telus dapat diberikan kepada rakyat.
”Peletakan jawatan lembaga pengarah satu tindakan yang perlu tapi
jangan isu ini dialih. Isu ini tidak dapat dialihkan dengan hanya
menggesa peletakan ahli lembaga pengarah tanpa Najib bertanggungjawab.
“Kita tidak mahu desakan peletakan ahli jawatankuasa pengarah itu
untuk menutup mulut dan juga siasatan terhadap Najib,” kata beliau
kepada Malaysia Dateline.
Lembaga pengarah 1MDB secara kolektif menawarkan untuk meletakkan
jawatan berikutan pengumuman PAC yang menonjolkan salah urus dalam dana
syarikat milik negara itu.
"Ahli lembaga telah berjaya membawa 1MDB melalui tempoh unik yang
mencabar dan percaya bahawa, dengan pengumuman laporan PAC, garis telah
disediakan.
"Bagaimanapun, memandangkan penemuan laporan PAC, lembaga pengarah
secara kolektif pagi ini membuat keputusan menawarkan peletakan
jawatannya kepada MoF (Kementerian Kewangan) Diperbadankan, pemegang 100
peratus saham 1MDB.
"Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami
percaya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan, memandangkan
keadaan ini bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang
dicadangkan oleh PAC," kata 1MDB dalam kenyataan Khamis lalu.
Salahuddin yang juga bekas ahli parlimen Kubang Kerian juga berkata,
laporan PAC berkaitan 1MDB seolah-olah cuba menjaga imej Najib
semata-mata.
“Laporan semalam secara tersirat cuba untuk menyelamatkan imej dan tanggungjawab perdana menteri.
“Cadangan PAC terhadap pengurusan 1MDB untuk membuat rombakan dan
penambahbaikan setelah isu ini menjadi suatu isu yang melibatkan maruah
negara sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya
lagi.
Semalam, pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, Najib tidak
disebut dalam laporan jawatankuasa itu kerana tidak menemui sebarang
bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa.
Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bagaimanapun berkata, Najib
tetap bertanggungjawab terhadap kelemahan 1MDB kerana beliau merupakan
menteri kewangan.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata, ada banyak sebab untuk mengaitkan Najib dengan kegagalan 1MDB.
Mengikut memorandum dan tata urusan syarikat (M&A) 1MDB, beliau
yang juga Ahli PAC berkata, setiap aktiviti pindahan wang syarikat
terbabit perlu disertakan bersama surat sokongan bertulis yang jelas
daripada perdana menteri.
“Oleh itu, perdana menteri secara peribadinya telah menandatangani
semua resolusi bertulis berkaitan pelaburan syarikat berkenaan yang
telah gagal, seperti US$1.83 bilion usaha sama Petrosaudi, pinjaman bon
bernilai US$6.5 bilion, pengambilalihan berbilion ringgit aset tenaga
dan hartanah serta pemecatan dua juruaudit luar, Ernst & Young dan
KPMG,” katanya dalam sidang media semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan