HAZAYANI ZAKARIA
Amanah
akan mengumumkan 13 calon parti itu yang akan bertanding dalam pilihan
raya negeri (PRN) Sarawak pada 22 Mac ini, kata timbalan presiden
Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, majlis pengisytiharan calon akan diadakan di bandar Kuching dan akan dihadiri oleh pimpinan utama parti.
“Amanah
akan isytiharkan calon yang telah kita kenal pasti pada Jumaat, 22 Mac
ini di Kuching, kata beliau kepada Malaysia Dateline.
Menurut beliau, kesemua 13 calon yang merupakan anak tempatan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
“Kita
telah kenal pasti calon-calon kita, selain semuanya anak Sarawak, calon
kita juga terdiri daripada pelbagai latar belakang, profesional,
aktivis sosial dan masyarakat, anak muda dan wanita,” katanya lagi.
Salahuddin juga mengesahkan Amanah akan bertembung dengan Pas di beberapa kawasan namun enggan memberitahu di kawasan mana.
Bagaimanapun,
sumber daripada Amanah sendiri memberitahu Malaysia Dateline minggu
lalu, Amanah akan bertembung dengan Pas di tiga kerusi iaitu N16 Muara
Tuang, N27 Sebuyau dan N29 Beting Maro.
Perkembangan ini akan menyaksikan perlawanan lebih daripada tiga
penjuru selain calon tradisi dari komponen BN serta kemunculan calon
bebas yang lazim mewarnai senario PRN Sarawak.
Menurut Salahuddin juga, Amanah yakin dengan potensi parti itu di
Sarawak dan 13 kerusi yang dipertaruhkan adalah munasabah bagi sebuah
parti baharu.
“Amanah nampak potensi ada di Sarawak dan Amanah tidak boleh ketinggalan daripada menyertai pilihan raya negeri.
“Segala
perbelanjaan pilihan raya ditanggung oleh parti sendiri dan daripada
sumbangan orang ramai kepada Amanah khusus untuk kerja-kerja pilihan
raya,” katanya.
“Amanah yakin 13 kerusi yang kita tandingi
mampu untuk menyemarakkan penyertaan Amanah untuk mendapat sokongan
kemenangan daripada rakyat Sarawak,” katanya lagi.
Persempadanan
semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun
lalu menjadikan jumlah kerusi untuk DUN Sarawak meningkat daripada 71
kepada 82.
Tiga daripada 11 kerusi yang ditambah terdiri
daripada majoriti kaum Melayu/Melanau iaitu di Gedong, Kabong dan Telian
manakala tiga kerusi didiami majoriti kaum Iban (Stakan, Selirik dan
Samalaju).
Selain itu, dua kerusi majoriti Orang Ulu (Murum dan
Long Lama), dua majoriti kaum Bidayuh (Serembu dan Triboh) serta baki
satu kerusi lagi majoriti kaum Cina iaitu di Batu Kitang.
Keputusan PRN ke-10 pada 2011 menyaksikan BN menyapu 77 peratus kerusi iaitu menang 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan.
Manakala
bagi pencapaian parti pembangkang, DAP menguasai 12 daripada 15 kerusi
Dun ditandinginya; PKR hanya menang tiga daripada 49 kerusi iaitu Batu
Lintang, Ba'Kelalan dan Krian manakala Pas kalah di semua lima kerusi
yang ditandingi.
No comments:
Post a Comment