BERNAMA
Rawatan tanah di kawasan
perlombongan bauksit boleh menjangkau sehingga tempoh 50 tahun, sebelum
ia dapat dipulihkan seperti sediakala. - Foto arkib Bernama
KUALA LUMPUR, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tanah di sekitar kawasan perlombongan bauksit boleh dipulihkan untuk aktiviti penanaman pada masa depan.
Bagaimanapun, rawatan tanah berkenaan
boleh menjangkau sehingga tempoh 50 tahun, sebelum ia dapat dipulihkan
seperti sediakala, katanya selepas merasmikan seminar Malaysia-Korea
‘Healthy River Basin’, hari ini.
Menjelaskan lanjut mengenai kaedah
pemulihan berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung
Malaysia, Datuk Seri Abd Rahman Abd Rahim berkata, kawasan perlombongan
bauksit yang menjalani rawatan perlu ditanam dengan tanaman menjalar,
seperti kekacang untuk tempoh yang lama.
“Ini kerana, tanaman menjalar boleh membantu meningkatkan kualiti tanah dan ia telah terbukti di Malaysia.
“Contohnya,
ibu pejabat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong,
telah menjalani rawatan yang sama, kerana tanahnya merupakan kawasan
bekas lombong, sebelum ia dipulihkan semula sebagai kawasan hijau,”
katanya.
“Berkemungkinan ia akan ambil masa hingga
50 tahun sebelum semua kembali normal, tetapi untuk memulihkan tanah
yang usang semangnya boleh,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan,
seorang Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, ladang
kelapa sawit di Felda Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sago dan Bukit
Nerang di Pahang berdepan masa suram, berikutan perlombongan bauksit di
kawasan berkenaan.
Dr Maketab Mohamed berkata, perlombongan
bauksit di kawasan itu menghasilkan kromium beracun dan boleh merosakkan
tanaman kelapa sawit di kawasan Felda terbabit.
Sementara itu, bercakap mengenai
perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, sikap kurang kesedaran dan
tanggungjawab sosial dalam kalangan orang ramai untuk memelihara dan
melindungi sungai, menyumbang kepada peningkatan pencemaran sungai di
negara ini.
Katanya, insiden pencemaran sungai meningkat sebanyak sembilan peratus pada 2014, berbanding lima peratus pada 2013.
Terdahulu, Wan Junaidi dianugerahkan
Profesor Penyelidikan oleh University of Seoul dalam bidang alam
sekitar, atas usaha cemerlang dan sumbangan beliau dalam menangani
masalah jerebu tahun lepas.
No comments:
Post a Comment