Friday, February 19, 2016

Sudah diaib, Mustam masuk perangkap pula

Nadia Azam

 



Belum pun reda isu menyerang lelaki disyaki warga asing kerana memeluk isterinya vokalis Genji Buskers, Mustam Mustapa terperangkap pula dalam polemik sesama netizen.

Puncanya, dia memberi reaksi kepada pertanyaan dikemukakan melalui akaun Facebook yang disangka jujur.

Rupa-rupanya ia soalan madah berhelah. Akaun yang dimaksudkannya itu adalah milik orang yang menyimpan niat tersembunyi.

Dua hari lalu, Malaysiakini menyiarkan kes seorang lelaki disyaki warga Nepal berkelakuan biadab kerana memeluk dan meraba isteri Mustam.

Walhal, kata Mustam, ketika itu isterinya berpakaian longgar dan bertudung labuh.
Pasangan itu yang baru berkahwin belum pun seminggu sangat terkejut, mendorong Mustam memukul suspek sehingga pengsan.

Dan tindakan itu diambil demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai suami.

Tetapi sejak itu, Mustam menyatakan ada pihak cuba memanipulasi keadaan dengan mengaitkannya dengan sikap antikerajaan.

Menurut Mustam, pihak itu 'memerangkapnya' dengan memberi mesej menerusi Facebook dan jawapan diberi kemudian disebarkan di media sosial.

“Mereka bertanyakan mengenai hal yang berlaku dan soalan kemudian disusuli dengan provokasi terhadap kerajaan.

“Kerana menyangka mereka prihatin, saya membalas mesej berkenaan.

“Dari situ luahan perasaan saya dimanipulasi dengan perkara yang ditokok tambah dan saya dipersalahkan kerana mahu menjatuhkan kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Bermula dari itu kata Mustam ramai pihak sengaja memanaskan isu berkenaan dengan niat tertentu.

Lama tak beraksi

Pada masa sama ada sesetengah pihak yang enggan memahami keadaan mempersoalkan tindakannya yang lewat membuat laporan polis.

“Bukan saya ambil masa begitu lama untuk buat laporan, tetapi beranggapan dalam peraturan seseorang ada ada masa sehingga 24 jam selepas sesuatu kejadian," katanya.

Selepas insiden itu, kata Mustam, dia meneruskan busking walaupun sebenarnya hati tidak tenteram, panik malah dalam dilema kerana memukul warga Nepal itu hingga pengsan.

“Pada masa sama keadaan sengkek dan saya perlu mencari rezeki terutama kerana baru mendirikan rumah tangga dan sudah lama tidak membuat persembahan,” katanya.

Insiden malam itu bukan yang pertama kali terjadi.

Sebelum berkahwin, pernah beberapa kali dia berdepan situasi yang membabitkan warga asing ketika membuat persembahan.

Namun kali ini ia berbeza kerana ia membabitkan isteri yang baru dinikahi.

Menjelaskan lagi keadaan, Mustam memberitahu dia mengajak isterinya membuat persembahan pada malam itu kerana kekurangan ahli selepas basisnya berhalangan.

“Dia bermain shaker dan mengganti ahli yang tidak hadir, kalau tidak saya membuat persembahan seorang diri malam itu.

“Tujuan hanya untuk tambah pendapatan dan memberi sokongan kepada saya yang sudah lima bulan tidak membuat persembahan.

“Bila dia berdiri di sebelah, saya lebih bersemangat,” katanya.

Ekoran dipolitikkan dalam hal sebegini, Mustam mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu.

Katanya, dia tidak akan membawa isteri lagi ke persembahan pada masa akan datang.

Dia juga mahukan pihak berkuasa mengambil pendekatan penyelesaian yang jitu dan meyeluruh.

“Saya mengambil sikap neutral dan tidak menyokong mana-mana parti politik.

“Kalau dulu pernah tersiar kisah mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad, itu kerana saya kagum dengan sifat dan ketokohannya.

“Justeru, untuk isu seperti ini, saya mohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya, kami rakyat semua nak hidup aman damai,” katanya.


No comments: