Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa supaya segera mengambil tindakan undang-undang terhadap The Wall Street Journal (WSJ) jika akhbar harian Amerika Syarikat itu sekali lagi membuat dakwaan palsu terhadapnya.
“Rakyat di negara menuntut supaya PM Najib Razak saman segera WSJ, kalau benar mereka membuat tuduhan palsu untuk kali kedua ini!” kata Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan.
Menurutnya, jika Najib enggan mengambil tindakan undang-undang, maka beliau patut meletakkan jawatan demi negara.
“Seandainya Najib tidak mahu menyaman WSJ, maka seluruh rakyat menuntutnya, demi masa depan negara dan kesejahteraan rakyat, supaya segera meletakkan jawatannya selaku perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya.
Pada 12 Februari lalu, editor kewangan WSJ, Ken Brown ketika ditemu bual oleh rangkaian televisyen ABC News Australia menafikan dakwaan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa RM2.6 bilion dalam akaun Najib adalah sumbangan daripada keluarga diraja Saudi.
Mengulas dakwaan itu, Dzulkefly berkata ia adalah tuduhan yang sangat berat dan meruntuhkan segala kredibiliti dan maruah negara yang telah sedia tercalar.
Beliau juga menegaskan bahawa Najib belum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap WSJ sejak tuduhan yang pertama dibuat pada Julai tahun lalu.
No comments:
Post a Comment