shahbudindotcom
Baru
semalam Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengatakan wang RM2,600
juta yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak adalah suatu bentuk
pelaburan dan bukannya derma, kini Peguam Negara, Apandi Ali pula
mendedahkan penderma tersebut ialah salah seorang daripada anak lelaki
Almarhum Raja Abdullah.
Beliau
bagaimanapun enggan mendedahkan identitinya, cuma berkata, "kami tahu
nama penderma itu. Dia bukan Almarhum Raja Saudi yang mangkat itu,
tetapi anak lelakinya. Dia masih hidup."
Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud ialah pemerintah Arab Saudi yang mangkat pada Januari 2015 lalu.
Melalui
dapatan di wikipedia, Raja Abdullah dikesan mempunyai 18 anak iaitu
lapan lelaki dan 10 perempuan. Anak-anak lelakinya ialah Putera Khalid,
Putera Mutaib, Putera Mishal, Putera Abdulaziz, Putera Turki, Putera
Badr, Putera Saud dan Putera Bandar.
Jadi, anak Raja Abdulllah yang mana satu yang dimaksudkan oleh Apandi sebagai penderma itu?
Siapakah di kalangan putera-putera itu yang diketahui begitu baik, dermawan dan murah hati?
Berapa pula kekayaan dan harta-harta mereka sehingga sanggup menyumbang derma sebanyak RM2,600 juta?
Mungkinkah
penderma itu bernama Putera Turki Abdullah Al Saud, salah seorang
putera Almarhum Raja Abdullah yang merupakan pemilik syarikat PetroSaudi
yang diketahui ada menjalin kerjasama dengan 1MDB?
Dalam
pada itu, Sarawak Report sebelum ini pernah mendedahkan mengenai
gambar-gambar percutian Najib Razak bersama keluarganya di atas kapal
layar mewah dengan Putera Turki yang turut juga disertai oleh Jho Low.
Berita
yang turut disiarkan oleh portal Malaysiakini itu menyebut
gambar-gambar tersebut dirakam pada Ogos 2009 dan sekiranya tarikh itu
tepat, ia adalah kira-kira sebulan sebelum 1MDB menandatangani
perjanjian dengan PetroSaudi yang melibatkan pelaburan bernilai AS$1
biliion.
Pernahkah diketahui Najib mempunyai hubungan dengan anak-anak Raja Abdullah yang lain selain Putera Turki?
Jika
benar sumbangan itu diterima itu daripada Putera Turki, bolehkah ia
dianggap sebagai derma yang dibuat tanpa mengharapkan sebarang balasan
sedangkan syarikatnya, PetroSaudi mempunyai perjanjian perniagaan dengan
1MDB yang mana Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihatnya?
Yang
lebih misteri, jika benar wang yang diberi itu sebagai derma, mengapa
pula sebahagian besar daripadanya dipulangkan semata-mata kerana tidak
digunapakai?
Atau
barangkali memang benar seperti yang dikatakan oleh Menteri Luar Arab
Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa wang itu bukannya derma, tetapi adalah
suatu bentuk pelaburan.
Tetapi, jika ianya pelaburan, mengapa dimasukkan ke akaun peribadi dan kemudian dikembalikan?
Kalau derma bukan dan pelaburan juga bukan, kategori apakah wang tersebut?
No comments:
Post a Comment