Thursday, February 25, 2016

Kanak-kanak ditemui selamat selepas dilarikan tiga lelaki

FREE MALATSIA TODAY


Polis berjaya menahan dua suspek manakala seorang lagi sempat melarikan diri. 


police


PASIR PUTEH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilarikan bersama kereta milik bapanya oleh tiga lelaki di Pantai Pachakan, Semerak di sini, semalam ditemui selamat selepas lebih empat jam dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Abdu Rozak Muhammad berkata kanak-kanak itu ditemui ditinggalkan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Wakaf Berangan-Kampung Kemunting di sini oleh orang awam pada 11.15 malam semalam.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut dilarikan tiga lelaki terbabit ketika bapanya sedang mengail ikan di Pantai Pachakan, Semerak pada 6.50 petang, semalam.

“Polis berjaya menahan dua suspek manakala seorang lagi sempat melarikan diri selepas kereta yang dinaiki mereka itu terbabas di Jelawat Bachok setelah dikejar polis pada 1.30 pagi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, Rabu.

Sementara itu, bapa mangsa Suhawazi Suhaimi, 41, ketika ditemui di Kampung Chenggal Batu di sini berkata ketika kejadian, dia sedang memancing kira-kira 40 meter dari kereta jenis Proton Waja miliknya.

Isterinya, Nurul Baizura Baharum, 26, pula berada di tempat duduk penumpang hadapan manakala anaknya sedang tidur di bahagian belakang.

Suhawazi berkata isterinya kemudian membuka pintu kereta setelah adiknya Zaini Baharum, 19, yang berada di luar kereta meminta supaya membuka pintu yang dikunci dari dalam kerana mahu mengambil air minuman.

“Tiba-tiba ketiga-tiga lelaki terbabit datang dengan seorang daripadanya membawa pisau lalu mengacu ke arah Zaini manakala seorang lagi menarik isteri saya keluar dari kereta dan mereka terus melarikan kereta bersama anak saya yang berada di dalamnya,” katanya.

Suhawazi berkata selepas menyedari kejadian itu beliau menjerit meminta tolong dan cuba mengejarnya tetapi gagal.– BERNAMA

No comments: