MALAYSIAKINI
Umno Selangor dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor semalam
menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang
menyifatkan pentadbiran Najib umpama mengemudi sebuah 'kapal', yakin
perdana menteri mampu mengatasi masalah yang dihadapinya sekarang.
Beliau berkata dengan kapal itu sedang dilanda gelora, setiap anak
kapalnya (anggota Umno) perlu terus memberi sokongan padu demi
kelangsungan pengemudian nakhoda sedia ada.
Noh berkata demikian dalam ucapan aluannya pada majlis 'Sepetang bersama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak anjuran Mubarak Selangor
dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno Selangor di Klang, semalam.
Menurutnya tiada pemimpin yang tidak pernah dilanda masalah, namun
perkara itu menjadikan seseorang pemimpin itu lebih kuat dalam
pentadbirannya.
Dalam pada itu, Noh berjanji merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat DAP-PKR-PAS.
“Saya memberi jaminan, Umno Selangor akan pastikan Barisan Nasional (BN)
merampas kembali negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan
datang," katanya.
Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan
aluannya pula menganggap Najib sebagai perdana menteri yang terbaik
berbanding lima bekas perdana menteri sebelum ini berikutan kejayaan
demi kejayaan yang dicapainya dalam tempoh enam tahun beliau mentadbir
negara.
"Najib dah capai kejayaan demi kejayaan, antaranya mengekalkan kuasa BN
di Putrajaya pada PRU ke-13, kejayaan Program Transformasi Kerajaan
(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang capai 100 peratus
dalam laporan 2014.
"Selain itu, Najib juga sering menyemarakkan nama Malaysia dalam arena
politik serantau dan antarabangsa, malah terus melaksanakan transformasi
kerajaan serta Umno," katanya.
Beliau turut berikrar akan berganding bahu bersama-sama badan bukan
kerajaan (NGO) serta parti komponen BN bagi menyusun strategi
mengembalikan Selangor kepada parti itu.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan