MALAYSIAKINI
Pesawat VIP baru yang kontroversi milik kerajaan telah melakukan
penerbangan pertamanya semalam selepas tiba di Malaysia awal bulan ini.
Menurut laman web penjejak penerbangan FlightRadar24, jet dengan nombor
pendaftaran 9M-NAB itu terbang dari Subang ke Kuala Terengganu pada jam
4.32 petang - yang memakan masa perjalanan hampir sejam.
Pesawat itu kemudian pulang kembali ke Subang dari Kuala Terengganu pada
jam 7.10 malam, menjadikannya perjalanan dua hala di bawah nombor
penerbangan NR1.
Nombor penerbangan itu sebelum ini digunakan hampir eksklusif oleh satu
lagi pesawat kerajaan yang bernombor pendaftaran 9M-NAA walaupun NR1
bukan satu-satu nombor penerbangan yang pernah digunakan oleh pesawat
tersebut.
Sebelum ini, pesawat baru 9M-NAB itu telah didaftarkan dengan nombor
pendaftaran Malta 9H-AWK dan didakwa dimiliki Air Luther AG serta
diuruskan oleh Comlux Aviation.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebelum ini juga pernah mempersoalkan
pembelian pesawat itu oleh kerajaan melalui syarikat lain iaitu Jet
Premier One Sdn Bhd dalam siri sidang medianya pada Mac lalu.
Antara lainnya, Rafizi mendakwa pembelian jet Airbus ACJ320 itu
melibatkan wang pembayar cukai sebanyak RM465.4 juta dalam tempoh 15
tahun - yang mana lebihan belanja sekurang-kurangnya RM109 juta.
Ahli parlimen Pandan itu juga mendakwa, operasi pesawat baru,
penyelenggaraan dan pengurusan serta kos lain melibatkan perbelanjaan
sebanyak RM46 juta setahun dan kerajaan menambah perbelanjaaan sebanyak
RM28 juta untuk mengubah suai dalaman pesawat itu.
Sebelum membuat penerbangannya ulang alik Kuala Terengganu, pesawat itu
telah berada di Malta di mana Comlux mempunyai pengkalannya.
Ia terbang dari Malta ke Hamburg, Jerman pada 1 Mei, dan kemudian
seterusnya ke Almaty, Kazakhstan pada 6 Mei, dan akhirnya ke Subang
kemudiannya pada hari yang sama, di mana ia disimpan sehingga
penerbangan semalam.
Tidak jelas mengapa ia singgah di Almaty dan siapa yang berada dalam jet pada masa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan