MALAYSIAKINI
Penyokong Terengganu bertindak liar dengan membaling batu terhadap
kenderaan dan merosakkan harta benda awam di luar Stadium Sultan Mizan
Zainal Abidin di Kuala Terengganu selepas pasukan itu gagal layak ke
final Piala FA 2015, malam tadi.
Penyokong merusuh selepas perlawanan akibat tidak berpuas hati dengan
keputusan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob tidak mengesahkan gol
keempat Terengganu menerusi percubaan Ahmad Nordin Alias pada minit
ke-89 kerana berada pada kedudukan ofsaid.
Kemenangan 3-2 yang diraih skuad 'Penyu' pada perlawanan separuh akhir
kedua itu, gagal menghalang wakil Singapura, Lions XII untuk mara ke
final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan
terikat 4-4 secara agregat.
Sebahagian besar penyokong Terengganu bertindak liar dengan melakukan
kerosakan ke atas harta benda awam di stadium dengan memecahkan pintu
kaca di laluan masuk selain dilaporkan turut membakar sebuah ambulans
yang diletakkan di perkarangan stadium.
Keadaan tersebut memaksa pihak stadium memanggil Unit Simpanan
Persekutuan (FRU) yang bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi
menyuraikan kira-kira 15,000 penyokong Terengganu yang cuba menimbulkan
kekecohan.
Sebuah bas yang membawa penyokong Lions XII turut dirosakkan oleh
segelintir penyokong Terengganu yang tidak dapat menerima keputusan
perlawanan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abdul
Rafar yang ditemui pemberita di venue berkenaan, enggan memberikan
ulasan lanjut tetapi memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilakukan
mengenai insiden kekecohan itu.Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan