SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan akan mengumumkan laporan hasil siasatan yang dijalankan oleh Ketua Audit Negara terhadap badan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) dalam masa terdekat.

Beliau menerusi NajibRazak.com, telah meminta semua pihak supaya menghentikan segala spekulasi berkaitan badan tersebut.

“Saya akan umumkan laporan awal berkaitan 1MDB. Ia merupakan hasil siasatan awal yang dilakukan oleh Ketua Audit Negara.

“Saya minta semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa maklumat yang belum tentu sahih. Maklumat lengkap mengenai urusniaga 1MDB turut akan disebut dalam laporan itu nanti.

“Tidak adil bagi sesetengah ahli politik untuk mengeluarkan kenyataan yang belum tentu sahih kepada umum mengenai  1MDB sebelum Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara mengeluarkan kenyataan berhubung urusniaga badan tersebut,” kata beliau.

Najib turut memberi jaminan bahawa individu atau pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dan penyelewengan dalam badan tersebut akan dibawa ke muka pengadilan.

“Bila kebimbangan berhubung badan tersebut disebut-sebut dan meningkat, saya sudah arahkan PAC dan Ketua Audit Negara menjalankan siasatan terhadap sebarang bentuk urusniaga 1MDB.

“Sesiapa atau mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dan penyelewengan akan dibawa ke muka keadilan,” katanya lagi.

Najib dalam pada itu menasihati semua pihak supaya memastikan kesahihan maklumat yang diperoleh terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan percaya apa yang disiarkan di media cetak dan elektronik. Itu bukan prosedur yang betul. Kalau kita benar-benar mahu tahu maklumat sebenar, kita perlu mendapatkan maklumat yang sah dari sumber yang boleh dipercayai.

“Biarkan pihak berkuasa seperti juru audit melakukan kerja-kerja mereka dan mereka akan jelaskan pada kita apa situasi sebenar 1MDB,” ujarnya lagi.