Rabu, 13 Mei 2015

Muslim akan diharamkan kerja di kedai jual arak?

MALAYSIAKINI


 


Agensi berkaitan diminta untuk melihat kemungkinan mengharamkan masyarakat Islam di Johor bekerja di kedai serbaneka 24 jam terutamanya yang menjual arak.

Suhaimi Salleh (BN-Kukup) berkata isu penjualan arak melibatkan pekerja Melayu yang bekerja di kedai serbaneka tersebut tidak boleh dikompromi kerana mempertaruhkan soal maruah, bangsa dan agama serta berdosa di sisi Islam.

"Hukum sudah jelas. Minum (arak) haram, (mereka) yang menjual (arak) haram, yang membungkus botol (arak) haram, yang mengangkut kotaknya ke 7-Eleven haram dan yang menyusunnya pun haram.

"Takkanlah kita hendak membiarkan perkara haram, yang nampak seperti kecil tetapi besar dosanya di sisi Allah, berlaku secara berterusan?," kata beliau ketika membahaskan titah Sultan Johor di persidangan Dewan Undangan Negeri Johor semalam.

Suhaimi berkata beliau meminta agensi berkenaan memandang serius isu ini memandangkan ia turut menjejaskan maruah bangsa terutama kalangan anak muda.

"Keuntungan akhirat adalah lebih penting. Sanggupkah kita melihat anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa dan baharu lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia sudah diajar dan terjebak dengan perkara ini," kata Suhaimi.

Isu penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam sebelum ini hangat diperkatakan selepas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron sebelum ini menyarankan kepada pihak pengurusan kedai serbaneka itu agar mempelbagaikan bangsa yang diambil bekerja di kedai berkenaan.
  
Ini kerana majoriti pekerja kedai itu, katanya adalah Melayu, yang mempunyai sensitiviti terhadap penjualan arak kepada orang ramai.
  
Selain itu, Melaka juga sedang membuat kajian menyeluruh melarang penjualan arak di rangkaian kedai serbaneka 24 jam itu dalam kawasan majoriti penduduk Islam di negeri tersebut. - Bernama


 

Tiada ulasan: