MALAYSIAKINI
Kerajaan diminta mengkaji semula penempatan pos-pos kawalan agensi
penguatkuasaan negara di pulau Langkawi bagi membolehkan usaha mencegah
aktiviti penyeludupan termasuk pelarian Rohingya dari Myanmar lebih
berkesan.
Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja
Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata ia berikutan ketiadaan
pos-pos kawalan di kawasan perairan Langkawi yang berhadapan dengan
Thailand.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat
berkata kawasan itu di utara pulau Langkawi terletak paling hampir
dengan perairan Laut Andaman dan deretan kepulauan milik Thailand.
"Ayer Hangat dan Thailand hanya mengambil masa 10 minit sahaja,
sedangkan pos kawalan Polis Marin dan APMM (Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia) terletak di Kuah atau 40 minit menaiki bot daripada
Ayer Hangat.
"Ini adalah perkara yang kurang bijak kerana penyeludup daripada
Thailand hanya mengambil 10 minit untuk ke Ayer Hangat sedangkan bot
ronda kita dari Kuah memerlukan 40 minit untuk sampai," kata Mohd Rawi
kepada pemberita di Alor Setar semalam.
Susulan
insiden pencerobohan 1,158 pelarian Bangladesh dan Rohingya dari
Myanmar di Langkawi Ahad Lepas, beliau berkata kawalan keselamatan di
pulau peranginan itu perlu ditingkatkan dengan segera.
Deretan pulau-pulau Thailand yang terletak hanya 10 minit dari Ayer
Hangat seperti Satun, Tarutao dan Kuala Bara sememangnya diketahui
lokasi kegemaran bagi sindiket penyeludupan.
"Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan pos-pos kawalan di kawasan Ayer
Hangat yang berhadapan dengan Thailand untuk mencegah aktiviti
penyeludupan termasuk dadah, barangan dan terkini, manusia," katanya.
Mohd Rawi mendakwa cadangan mewujudkan pos-pos kawalan agensi
penguatkuasaan negara di Ayer Hangat telah dikemukakan hampir 20 tahun
lepas.
Menurutnya
beliau akan mengemukakan saranan itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Seri Shahidan Kassim.
APMM adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Berbanding dengan Kuah, kedudukan Ayer Hangat adalah lebih strategik
untuk menempatkan pos-pos kawalan keselamatan agensi penguatkuasaan
negara kerana ia terletak paling hampir dengan perairan dan kepulauan
Thailand, katanya.
Mohd Rawi berkata bukan sahaja Kuah terletak kira-kira 40 minit daripada
Ayer Hangat, malah kedudukannya juga berhadapan dengan Kuala
Kedah,Kuala Perlis serta Pulau Pinang.
"Berikutan
kedudukannya yang berhadapan dengan Satun dan perairan Thailand, Ayer
Hangat adalah lebih strategik untuk penempatan pos-pos kawalan bot ronda
agensi penguatkuasaan negara,"katanya.
Sementara itu, ADUN Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata Pertubuhan
Bangsa Bersatu (PBB) harus mengemukakan penyelesaian yang berkesan
untuk menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) warga
Bangladesh dan etnik Rohingya, dan bukannya meletakkan beban itu kepada
Malaysia, untuk menyelesaikannya sendirian.
Katanya, kini sudah tiba masanya bagi PBB, yang selama ini
memperjuangkan hak asasi kemanusiaan global, menunjukkan kebolehan
mereka untuk membantu PATI ini dan bukannya membiarkan masalah itu
dikendalikan sendiri oleh negara individu untuk menyelesaikannya.
"Saya
tidak mahu mereka (PATI) ini menderita dan saya sendiri telah melihat
mereka. Kami telah cuba sedaya yang mungkin untuk bantu mereka
berdasarkan faktor keman usiaan, tetapi kami ada kekangan. PBB harus
selesaikan masalah (situasi) ini," katanya kepada Bernama di Langkawi.
Langkawi menjadi tumpuan sepanjang minggu lepas apabila 1,158 warga
Bangladesh dan etnik Rohingya dari Myanmar mendarat secara haram di
pulau peranginan itu Isnin lalu, yang merupakan jumlah pendaratan PATI
terbesar, dilaporkan setakat ini.
Insiden pendaratan itu berlaku selepas negara jiran, Thailand memerangi
sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemui
lebih 30 mayat yang ditanam di bahagian selatan negara itu, minggu
lepas.
Langkawi dikejutkan selepas tengah malam Isnin lepas, dengan kebanjiran
beramai-ramai pendatang haram tersebut apabila satu daripada bot kayu
yang membawa PATI itu terkandas di benteng pemecah ombak berhampiran
pantai Pasir Bedengung, di sebelah barat pulau itu.
Kira-kira
200 orang pula dikumpulkan berhampiran pantai manakala lebih 1,000 lagi
yang dipercayai mendarat lebih awal ditemui di Kampung Kuala Temoyong,
kira-kira 300 kilometer dari Langkawi.
Beberapa jam sebelum berita kemasukan besar-besaran PATI itu di
Langkawi, 469 warga Bangladesh dan Rohingya mendarat di Aceh, barat laut
Indonesia, yang mencetuskan spekulasi, bahawa beribu-ribu lagi PATI
yang menaiki beratus-ratus bot sedang menunggu giliran untuk mendarat.
Pendatang itu yang dikumpulkan di Langkawi dipindahkan secara
berperingkat ke Pusat Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah di tanah
besar memandangkan pulau itu tiada kemudahan untuk menempatkan mereka.
Berikutan
kemasukan itu, agensi penguatkuasaan di Langkawi menggandakan rondaan
mengawal perairan bagi menghalang sebarang pendaratan haram selepas
penduduk tempatan meluahkan kebimbangan berhubung keselamatan mereka
berhubung situasi itu.
Berkongsi niat ikhlas yang ditunjukkan oleh beberapa pihak yang ingin
membantu pelarian itu, beliau menjelaskan, pendatang itu merupakan
mangsa keadaan di negara asal mereka dan tidak mempunyai pilihan, selain
melarikan diri ke negara lain.
Nor Saidi berkata secara peribadi beliau mendengar rintihan daripada
pendatang itu apabila bertemu mereka di pusat perlindungan sementara
yang didirikan pihak berkuasa Malaysia di Langkawi, tetapi permohonan
mereka tidak dapat dipenuhi oleh penduduk di situ, sendirian.
"Bantu boleh bantu. Tapi bagaimana reputasi Langkawi sebagai destinasi
pelancongan antarabangsa? Ini mempunyai makna yang besar kepada kami
sebagai penduduk kerana kami juga perlu bersaing dengan kehidupan kami.
Saya tidak mahu Langkawi dikenali sebagai hab pendatang tanpa izin,"
katanya.
Beliau juga menegaskan pulau peranginan itu tidak seharusnya menjadi
tempat perlindungan bagi mana-mana dalang yang bertanggungjawab atas
kemasukan pendatang berkenaan dan mendesak pihak berkuasa untuk
memastikan setiap penjuru Pulau Langkawi bebas daripada kehadiran orang
seperti itu.
"Langkawi tidak boleh diheret dalam sebarang konflik...Sebagai destinasi
pelancongan antarabangsa, kami tidak mahu insiden di Lahad Datu berlaku
di sini," katanya, merujuk pencerobohan oleh kumpulan bersenjata Sulu,
Filipina di Sabah pada 2013.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan