Isnin, 18 Mei 2015

Rohingya dan kemanusiaan

Rahmat Haron


 


'Kemanusiaan' barangkali satu perkataan yang kini dianggap klise atau terkait dengan maksud tersembunyi atau suatu kesia-siaan. Ribuan berita derita di dunia, ribuan kehampaan. Di sebalik kedukaan ini, kehidupan diteruskan.

Lebih gelap lagi kemanusiaan, sebagaimana yang dapat kita fahami daripada susur galur bahasa Inggerisnya, humanity, yang mencetuskan aliran pemikiran  dan gagasan humanisme dianggap sebagai ancaman oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Saya fikir kita tidak perlu pergi terlalu jauh meredah teori politik dan falsafah berkenaan humanisme, berkenaan peri kepentingan untuk memiliki perasaan kemanusian, yang paling dekat dengan kita rasa kasih dan cinta.

Tiadakah ehsan manusiawi? Ke manakah insan dan nurani? Sudah berhari-hari mereka terapung-apung di lautan Andaman, di pukul gelombang, ombak dan hujan ribut. Kelaparan dan penyakit, kematian. Begitulah nasib ribuan pelarian Rohingya yang masih terumbang-ambing nasibnya.

Thailand, Indonesia dan Malaysia, saling tolak-menolak. Sementara itu, ramai yang terkorban. Mereka terbuang tidak bertempat untuk meneruskan kehidupan yang manusiawi.

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago memerhatikan bahawa keganasan yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar ke atas warga Rohingya itu sudah berlangsung berdekad lamanya.

“Mereka menjadi tidak berwarga negara di tanah kelahiran mereka sendiri, apabila Undang-undang Warganegara 1982 menarik balik taraf kewarganegaraan mereka,” tulisnya.

Bagaimanapun, tanpa ragu-ragu Malaysia berhasrat untuk menghantar para pelarian itu pulang ke negara asalnya.

Walhal, Malaysia tahu bahawa tindakan itu akan menyebabkan pelarian tersebut berdepan dengan keganasan dan pembunuhan, kata Charles.

Sebahagian besar dari para pelarian Rohingya ini menjadi mangsa pemerdagangan orang. Mereka ditinggalkan di kem haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand atau pun di lautan Andaman. Ini bukanlah cerita baru.

Sila baca buku tulisan Mendiang Irene Fernandez, berjudul 'The Revolving Door – Modern Day Slavery', terbitan NGO hak pekerja migran, Tenaganita. Buku ini mendedahkan pengakuan para pelarian itu sendiri yang menjadi mangsa perhambaan moden.

Mendiang Irene, tokoh terbilang yang memperjuangkan hak buruh migran di Malaysia, dalam buku tersebut turut mendedahkan masalah rasuah, salah guna kuasa dan pemerdagangan manusia yang berlaku di Malaysia, dan di sempadan Malaysia-Thailand.

Buku tersebut terbit pada tahun 2008. Namun sehingga kini, masalah pelarian Myanmar masih belum selesai.

Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf  para pelarian Rohingya ini sebagai “person of concern” (orang yang perlu diberi perhatian) di bawah Konvensyen PBB berkaitan Status Pelarian.

Sepanjang tiga tahun yang berlalu, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) UNHCR merekodkan seramai lebih 120,000 orang Rohingya melayari kapal, tongkang dan bot untuk lari ke negara lain.

Pada bulan Mei 2015 ini, Setiausaha Agung PBB mendesak kerajaan rantau ini untuk mengingati tanggungjawab mereka untuk membuka sempadan dan pelabuhan mereka kepada orang yang terbuang di lautan.

Desakan itu juga bagi memastikan kerajaan rantau ini mematuhi sekatan yang menghalang penghantaran pulang para pelarian atau pemohon suaka.

Ini kerana individu malang ini akan menjadi mangsa penganiayaan dan penyeksaaan.

Suatu waktu dahulu, kita terdengar banyak ikhtiar kutipan derma dan bantuan kemanusiaan dihulurkan terhadap masyarakat Rohingya di Burma.

Antaranya usaha yang digerakkan Azeez Raheem melalui Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia.

Cuma saya berharap, ia tidak menjadi seperti Tabung Haji, dengan urusniaga tanahnya, yang kini dipengerusikan Azeez juga.

Seperkara mengenai pertubuhan Asean, seperti mana yang disebut oleh Charles Santiago, Perdana Menteri Najib Razak perlu menunjukkan kepimpinannya.

Saya kira kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan isu pelarian Rohingya bersama negara Asean, khususnya Thailand dan Indonesia akan menjadi kayu ukur keberkesanan kepimpinan Malaysia secara amnya dan relevan pertubuhan Asean itu sendiri.

Kepimpinan bukanlah setakat kehebatan menganjurkan acara sidang kemuncak Asean yang baru sahaja berlangsung April lalu. Kepimpinan perlu diuji dan dibuktikan, bukan setakat disolek dengan dokumen berisi janji manis dan harapan palsu.

Di sebalik krisis kemanusiaan para pelarian Rohingya ini, kita perlu menilai pelaksanaan disebalik kononnya semangat Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Asean Berorientasikan Rakyat, Berpaksikan Rakyat.

Saya tahu, isu Rohingya buat umat Melayu Islam masakini agak kurang sensasinya berbanding perang Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak, ataupun pergolakan kepimpinan dalam PAS.

Namun demikian, inilah waktunya – tanpa melupakan persaingan kuasa dalam teras organisasi masing-masing – untuk kita rakyat Malaysia menunjukkan jiwa kemanusiaan, menghulurkan salam silahtuhrahim, menyambut saudara-saudara warga baru kita – untuk berkongsi kemakmuran insan dan tanah air.

Jikalau umat Melayu Islam Malaysia sudi menerima Azeez sebagai pengerusi Tabung Haji, atau Jho Low sebagai penasihat keputusan penting 1MDB, atau Apco untuk kerajaan Malaysia, kenapa tidak para muhajirin Rohingya ini?

Apakah persaudaraan insan ada batas sempadannya? Di mana-mana pun, kita masih manusia di bumi yang sama, berhak mendapat haknya yang paling asasi.

Wahai peri kemanusiaan, saya tahu saya bermimpi, tetapi mimpi inilah yang menghidupkan saya.

Seperti mutiara kata Mahatma Ghandi: "Di tengah-tengah kematian kehidupan berterusan, dalam penipuan kebenaran akan tetap tertegak, dalam kegelapan, cahaya terus menerangi"- .malaysiakini


Tiada ulasan: