MALAYSIAKINI
Jabatan Peguam Negara perlu memberi keutamaan kepada kes membabitkan
cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan
Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata ia bagi memastikan segala kes atau kertas siasatan berhubung GST dapat disegerakan pendakwaannya di mahkamah.
"Dengan ini baru kita dapat meyakinkan rakyat, yang sebenarnya kerajaan
mahu melihat peniaga tidak beretika ini dikenakan tindakan," katanya
kepada Bernama selepas hadir memberi penerangan GST, bajet dan isu-isu
semasa anjuran MIC Pusat, di Brinchang, dekat Cameron Highlands semalam.
Beliau berkata sehingga semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan memaklumkan bahawa sebanyak 815 kertas
siasatan dibuka di seluruh negara, termasuk 44 kes yang sudah siap untuk
dibawa ke mahkamah.
Selain itu, Ahmad berkata pengeluar pelbagai produk barangan disaran
untuk mengumumkan penurunan harga sepertimana dilakukan pengeluar
kereta, berikutan pelaksanaan GST sejak 1 April lepas.
Beliau berkata pengeluar produk tidak boleh memberi alasan lagi dan
mengambil kesempatan terhadap rakyat kononnya tidak tahu berhubung
perkara itu kerana pihaknya telah lama mengeluarkan senarai barang tidak
dikenakan GST.
"Pengeluar
produk yang ada di Twitter @Ahmad Maslan perlu mengumumkan penurunan,
yang dulu 10 peratus SST (cukai jualan dan perkhidmatan) turun kepada
enam peratus iaitu menggantikan GST," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengenakan
tindakan lebih tegas kepada pengeluar mahupun peniaga yang mengenakan
harga tidak berpatutan.
"Bulan pertama sebenarnya kita sedang memujuk, itu sebab kita malas nak
masuk mahkamah, bulan kedua kita bawa kes mereka ke mahkamah. Bulan
ketiga mungkin lagi ganas, kita tangkap dan mendakwa di mahkamah.
"Saya nasihatkan kepada pengeluar jadilah peniaga beretika dan jadi
pengeluar, pembuat dan pengilang beretika sebagaimana pengeluar kereta
yang mengumumkan kepada umum," katanya.
Sementara itu, mengulas sikap segelintir rakyat yang masih memberi
respons negatif berhubung GST, Ahmad berkata proses pemahaman dan
memujuk itu merupakan satu proses jangka panjang.
"Kita tidak boleh beri pemahaman kepada semua orang dalam satu masa.
Kenapa kita susah nak fahamkan rakyat tentang GST kerana dari segi
psikologi, tidak ada orang suka bayar cukai?
"Itu sebab kita menghadapi masalah dari segi penjelasan kerana minda
mereka sudah disekat tidak suka bayar cukai, tetapi apabila kita
beritahu cukai itu dari segi ini dan dari segi itu turun, akhirnya akan
membuka minda mereka," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa pembangkang dan peniaga
yang berfikiran pembangkang merupakan salah satu cabaran kepada
pelaksanaan GST.
"Tak kira parti apa lah, tapi kadang-kala mereka tidak pasti pun tapi, fikiran mereka sentiasa membangkang.
"Itu juga satu cabaran kepada kami tapi akhirnya pengguna yang
menggunakan kuasa 3M iaitu memilih, memboikot dan melapor akan
mendisiplinkan mereka," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan