MALAYSIAKINI
Tidak timbul soal perpecahan jika ada pihak ingin mencabar jawatan
presiden pada Muktamar Tahunan ke-61 PAS Pusat Jun depan, tegas Timbalan
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, ada kemungkinan berlaku pertandingan pada pemilihan kali
ini walaupun ada yang menyatakan jawatan presiden yang disandang Datuk
Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu dicabar.
Menurut Mujahid secara tradisinya jawatan presiden PAS memang tidak
pernah dicabar selepas zaman bekas presiden parti Islam itu Tan Sri Asri
Muda yang meletak jawatan pada Oktober 1982.
"Tetapi masa berlalu, ahli (PAS) lebih matang. Apabila ada satu
pencalonan untuk kerusi presiden, walaupun dianggap tidak pernah dibuat,
tetapi secara perlembagaan ia bukan satu kesalahan kerana PAS
mengamalkan demoraksi," kata Mujahid kepada pemberita di George Town
hari ini.
Beliau berkata cabaran untuk jawatan presiden mungkin berlaku kerana
ahli mengharapkan pemimpin yang boleh membawa hasrat parti dalam keadaan
sekarang.
"Faktor Pakatan Rakyat (PR) juga mempengaruhi trend pencalonan
seolah-olah ada dalam PAS yang melihat PR perlu dikekalkan dan untuk
mengekalkannya, ia memerlukan pemimpin yang dinamik, terbuka dan boleh
bekerjasama dengan rakan sekutu," katanya.
Mujahid, yang juga anggota Parlimen Parit Buntar berpendapat
pertandingan jawatan presiden harus diterima secara terbuka dan memahami
semangat serta pengaruh perlembagaan parti yang mengamalkan pemilihan
secara demokratik.
Ditanya mengenai kebimbangan berlaku pergolakan dalam parti jika jawatan
presiden dicabar, Mujahid berkata ia perkara biasa dalam mana-mana
parti.
"Begitulah tanggapannya akan berpecah...tetapi apabila memahami secara
matang kita bertanding, kalau menang maka kemenangan itu adalah atas
pemilihan perwakilan, kalau kalah juga ia atas pemilihan pewakilan.
"Jadi kalau kita kata demokrasi, kita bersedia untuk menang dan kalah. Tidak timbul soal nak pecah.
"Saya tidak bersetuju kalau selepas pertandingan menjadikan parti itu
pecah, dan juga tidak bersetuju atas alasan itu kita kata jangan
bertanding.
"Kita harus kembali kepada semangat bersaing," katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment