KOTA BHARU - Pas Kelantan menyenarai pendek tiga nama sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka yang dijadual berlangsung pada 22 Mac.
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, senarai itu telah dihantar kepada Pas Pusat untuk penilaian terakhir dan calon yang layak akan diumumkan Ahad ini.
"Ketiga-tiga calon adalah anak tempatan Dun Chempaka.. mereka semua lelaki dan terdiri daripada golongan ulama dan profesional.
Ketiga-tiga mereka juga bukan anak Allahyarham Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh PRK Dun Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon ialah 10 Mac.
Kerusi Dun Chempaka kosong berikutan penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.
Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut menempelak pihak yang meminta kerajaan negeri menangguhkan sidang Dun Kelantan bagi membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dari 16 hingga 19 Mac.
Mohd Amar, yang juga Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, berkata beliau telah melakukan empat perjumpaan dengan beberapa pimpinan tertinggi pakatan pembangkang bagi menerangkan perkara itu.
"Saya sudah terangkan (kepada pimpinan pakatan pembangkang) apa yang kita nak buat di Kelantan itu, jadi apa lagi yang mereka mahu. Saya tak nampak rasionalnya untuk diterangkan lagi sebab saya sudah jelaskan beberapa kali.
Enakmen ini sudah diluluskan sejak 1993 lagi, lama sebelum pakatan pembangkang wujud...jadi kita tidak terikat dengan pakatan pembangkang (dalam
hal ini)," katanya.
Beliau berkata, sidang Dun itu akan meminda beberapa klausa di dalam enakmen berkenaan terutama melibatkan hukuman terhadap orang bukan Islam yang melakukan kesalahan syariah di bawah undang-undang berkenaan.
"Dalam enakmen 1993 kita ada klausa yang mengatakan orang bukan Islam boleh pilih sama ada nak dibicarakan di bawah undang-undang ini ataupun tidak.
Tapi dalam pindaan yang baharu ini kita buang terus klausa itu...maknanya orang bukan Islam macam manapun tidak akan dibicarakan di Mahkamah Syariah di bawah Undang-Undang Jenayah Islam," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment