THE MALAYSIAN INSIDER
Jabatan
Penjara menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi
Parlimen Isnin depan, lapor portal Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional
(BNBBC) hari ini.
Ia memetik sumber berkata salinan surat jabatan itu diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Dalam surat berkenaan, Jabatan Penjara berkata, Anwar kini berada di bawah akta, peraturan dan prosedur penjara.
Portal berkenaan turut melaporkan Pandikar dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh
setelah mahkamah mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya
Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Jabatan Penjara Malaysia, dalam satu kenyataan semalam dilaporkan
berkata, layanan terhadap semua banduan, termasuk juga Anwar adalah
sama.
"Keputusan, tindakan serta langkah yang diambil oleh Jabatan Penjara
adalah berasaskan ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara yang
diguna pakai untuk menguruskan semua banduan.
“Sebarang layanan istimewa daripada kakitangan penjara akan diambil
tindakan,” kata Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim dalam
satu kenyataan.
Keluarga Anwar menghantar petisyen pada 24 Februari kepada Lembaga
Pengampunan di Istana Negara pada saat-saat akhir sebelum tempoh 14 hari
diperuntukkan untuk permohonan itu dilakukan tamat.
Susulan perkara itu, jawatan ketua pembangkang dan ahli Parlimen
Permatang Pauh yang disandangnya masih kekal, sehingga lembaga
pengampunan bersidang menyatakan keputusan mereka.
No comments:
Post a Comment