Pakai baju hitam tanda PR protes
 
 
 
KUALA LUMPUR - Barisan kepimpinan pembangkang hari ini memilih untuk tidak memakai pakaian rasmi nombor satu ke sidang pembukaan Parlimen sebagai tanda protes terhadap keputusan tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Parlimen hari ini.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sebab itulah mereka memilih pakaian berwarna hitam sebagai baju rasmi mereka hari ini.

"Memang kita dah pastikan sebelum ini bahawa PR akan mengenakan baju hitam sebagai protes terhadap keputusan dewan yang tidak benarkan Datuk Seri Anwar hadir ke Parlimen sedangkan dia masih Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang yang sah.

"Esok pun kalau contohnya Anwar tidak dibenarkan untuk ucapannya dibacakan, kita akan protes lagi dan ia akan berterusan kepada sehingga keadilan diberi kepada Datuk Seri Anwar," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Sementara ketika ditanya mengenai tindakan Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Mujahid Rawa yang mengenakan pakaian rasmi sekaligus memperlihatkan bertentangan dengan keputusan Pakatan Rakyat, Rafizi berkata, perkara tersebut perlu ditanya sendiri kepada dua ahli Pas itu sendiri.

"Kita tak sempat berbincang dalam mesyuarat PR, cuma kita memaklumkan perkara tersebut kepada whip parti masing-masing.

"DAP Pun telah mengeluarkan arahan yang sama, kalau Pas, itu kena tanya sendiri kepada Datuk Mahfuz dan Datuk Mujahid," ujarnya lagi.

Sementara itu, Nurul Izzah Anwar turut menyatakan perkara yang sama tentang pemakaian baju hitam ke Parlimen, hari ini.

"Kita hormati Agong tapi dalam masa yang sama kita kecewa dengan sistem demokrasi berparlimen yang tidak membenarkan ketua pembangkang hadir ke Parlimen," katanya.

Timbalan Presidennya, Muhamed Azmin Ali pula sempat mengulas isu yang sama namun menyatakan tidak ada apa yang salah memakai baju berwarna hitam kerana tindakan tersebut adalah mengikut surat jemputan yang diberikan.