SHAH ALAM: Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin
menegaskan surat rasmi yang ditandatanganinya tidak seharusnya
disebarkan kepada umum, sekaligus menimbulkan spekulasi mengenai
penceramah bebas terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elyas.
Pejabatnya sebelum ini menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar
Perlis sebagai respon jemputan kerajaan negeri itu kepada Ustaz Kazim
untuk menjadi panel pada Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan
DYMM Tuanku Raja Perlis ke-72 dan Ulang Tahun ke- 69 RTM.
Surat itu menyebut pejabat mufti negeri tidak bersetuju dengan jemputan
itu kerana ustaz berkenaan sering menggunakan riwayat-riwayat palsu
ketika berceramah.
"Surat tersebut menyatakan pihak Jabatan Mufti tidak bersetuju
pemilihan panel tertentu atas alasan riwayat-riwayat palsu yang pernah
disebarkan. Ini selaras dengan kehendak keilmuan dan masyarakat sendiri
untuk memastikan kesahihan riwayat.
"Surat itu TIDAK menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di
Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum
berkenaan," ujarnya di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Sementelah isu itu tersebar diinternet, Dr Asri yang baru dilantik
semula sebagai mufti Perlis awal Februari lalu turut melampirkan contoh
riwayat palsu yang didakwa digunakan Ustaz Kazim.
Mengulas lanjut Dr Asri berkata respon yang dibuatnya bersabit
pemilihan Ustaz Kazim sebagai panel forum itu dibuat selaras dengan
kehendak dan keilmuan masyarakat sendiri untuk memastikan kesahihan
tersebut.
Ternyata, sebelum isu ini disentuh Dr Asri, Ustaz Kazim terlebih dahulu menjawabnya pada 21 Julai 2014.
Ustaz Kazim berkata beliau tidak bermaksud memberi contoh Nabi
Muhammad S.A.W melakukan kenduri paling mahal dengan menyediakan roti
jala yang dicelup dengan kuah kari seperti yang dipaparkan dalam sebuah
buku dan juga rakaman ceramah yang tersebar.
Menurutnya, sebenarnya mengikut sejarah, Nabi pernah menyediakan roti
yang dicicah dengan kuah kambing dan bagi mengikut sunah Rasulullah,
masyarakat zaman ini boleh menyediakan roti jala dicelup dengan kuah
kari kepada tetamu yang hadir.
"Saya tahu ramai yang mempertikaikan tentang perkara itu. Takkanlah
saya bodoh nak cakap Rasulullah beri makan roti jala kepada tetamunya.
Zaman itu ada ke roti jala?
"Ia sebenarnya hanyalah satu contoh di mana jika Rasulullah
menyediakan roti dengan kuah kambing, apa salahnya kita sediakan roti
jala dengan kuah kari. Tetapi ramai yang salah faham," katanya kepada
mStar Online, tahun lalu.
Pada tahun lalu, sebuah buku berjudul Tuhan Sedang Menguji Kita yang
memetik ceramah-ceramah Ustaz Kazim telah diterbitkan di bawah
penerbitan Karangkraf.
Rakaman video ceramah mengenai topik itu juga turut dirakamkan dan
disiarkan menerusi YouTube sehingga menimbulkan komen-komen negatif
masyarakat.
Ramai yang memberi reaksi bahawa Ustaz Kazim telah menyampaikan
informasi salah dan ia boleh menjejaskan akidah masyarakat yang
mengikuti ceramah-ceramahnya.
Dalam pada itu, Ustaz Kazim berkata, sebelum buku tersebut
diterbitkan, dia telah membuat beberapa pembetulan termasuklah bahagian
isu roti jala yang ditulis, namun dia tak pasti sama ada ia telah
diperbetulkan atau tidak.
No comments:
Post a Comment