MALAYSIAKINI
Pengedaran buku mengenai maklumat salah tentang Nabi Isa bertujuan
menimbulkan keresahan di kalangan penduduk di Pulau Pinang, kata Ketua
Menteri Lim Guan Eng.
"Kita tidak tahu dari mana buku itu datang atau siapa yang
mengedarkannya," katanya selepas menyampaikan wang RM100 kepada warga
emas hari ini.
"Buku ini diedarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan pergeseran antara penganjut Kristian dengan orang Islam."
Kira-kira 50 naskhah buku berjudul 'Ringkasan Kisah Nyawa Nabi Isa'
dalam bahasa Melayu ditemui di muka pintu rumah di tujuh kampung di
Balik Pulau.
Buku berkulit hijau itu juga menggunakan kalimah 'Allah', perkataan yang
menjadi kontroversi sejak beberapa tahun lalu. Ia juga mendakwa Isa
berkahwin dengan pengikutnya Mary Magdalene.
Khamis lalu, ketua Umno Balik Pulau, Shah Headan Ayoob Hussain, berkata orang Islam di situ keliru dengan dakwaan tersebut.
Polis menerima tujuh laporan berhubung tersebut dan ia sedang disiasat
bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, kesalahan menggunakan agama untuk
menimbulkan suasana tidak harmoni atau perpecahan.
Lim juga berkata buku dengan maklumat salah itu boleh menimbulkan
ketegangan jika pembaca keliru Mary Magdalene dengan Mary (atau Maryam),
ibu Isa.
"Penganut Kristian dan orang Islam yang sejati pasti menolak maklumat
palsu dalam buku ini yang diedarkan oleh mereka yang ingin menimbulkan
kekacauan dalam masyarakat kita," katanya.
Beliau menggesa pihak berkuasa menahan mereka yang berbuat demikian bagi mengekalkan suasana harmoni di negeri itu.
No comments:
Post a Comment