Thursday, March 5, 2015

LAPORAN KHAS: Lautan warga asing, penduduk bimbang ancam keselamatan

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Isu sewa atas sewa di kawasan PPR semakin berleluasa apabila terdapat sindiket didalangi Pihak Pengurusan Bersama (JMB) bertindak menjadi ejen menyewakan unit kediaman penduduk tempatan kepada warga asing.

Selain itu, majikan juga menjadikan PPR sebagai rumah kongsi pekerja dan  stor menyimpan peralatan.

_MG_1215

Tinjauan Selangor Kini di beberapa kawasan PPR mendapati terdapat banyak unit kediaman dihuni warga asing dari Myanmar, Bangladesh, India dan Indonesia.

Apa yang pasti, unit kediaman yang didiami warga asing itu tidak ubah seperti rumah kongsi ekoran keadaan yang tidak terurus dan kotor.

Warga asing yang dikenali sebagai Kareem, 49, dari Pakistan berkata, dia sering mengunjungi rakannya yang tinggal di kawasan itu dan mengakui pernah tinggal di kawasan sama beberapa tahun lalu.

“Ramai kawan saya tinggal di sini. Dalam sebuah rumah, berbelas orang tinggal sekali,” katanya ketika ditemui di PPR Kota Damansara.

_MG_0641Pengerusi Surau PPR Kota Damansara, Zakaria Ismail, 53, berkata penduduk pernah menghalau warga asing yang menghuni PPR itu.

“Adakala, kita tidak boleh lakukan tindakan itu kerana ada rakyat tempatan berkahwin dengan warga asing. Di PPR ini, kita tidak nafikan ada kes ini tetapi tidak banyak,” katanya.

Di PPR Lembah Subang, Ketua Blok H, Rahman Aman memberitahu terdapat kira-kira 40 peratus warga asing memonopoli lapan blok itu.

Katanya, sudah banyak aduan diserahkan kepada pihak berwajib namun tiada tindakan diambil.
_MG_0755
“Kami juga pernah bertanya kepada penyewa tempatan yang melakukan perkara itu. Jawapan mereka, unit diceroboh dan tidak selamat untuk didiami,” katanya.

Rahman berkata, semua pihak harus bekerjasama menangani isu terbabit yang berlarutan sejak 2007.

“Kita sebagai pengundi sudah pasti mahu kelebihan dan keselesaan diberikan kepada warga tempatan.

“Masih ramai rakyat kita tidak mempunyai rumah, jadi mengapa sewakan kepada pihak tidak bertanggungjawab. Pihak berwajib juga perlu memantau kegiatan ini dengan lebih tegas,” katanya.
_MG_0781
Suri Rumah, Fauziah Buyong, 56, mengakui tidak selesa dengan situasi berkenaan dan berasa tidak selamat berada di PPR itu kerana jumlah warga asing semakin meningkat.

“Mereka juga berniaga di kawasan sekitar. Namun, saya sekeluarga tidak mempedulikan atau mengganggu mereka sebagai langkah keselamatan,” katanya.-NFN-

No comments: